top of page
nabalunews

Penjaja Dan Peniaga Tamu Desa Kg. Sarang Pintasan Zahirkan Ucapan Terima Kasih Kepada Ewon

13 November 2024


KOTA BELUD: Para penjaja dan pengunjung Tamu Desa Kampung Sarang, Pintasan, Kota Belud, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick atas usaha beliau dalam menyediakan kemudahan tamu desa yang serba baharu.


Kemudahan ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada para peniaga untuk menjalankan perniagaan, tetapi juga memudahkan para pengunjung menikmati suasana tamu dengan lebih baik.


Mereka menghargai perhatian Ewon terhadap kesejahteraan komuniti, yang membawa manfaat secara terus.kepada masyarakat setempat.


Ketua Kampung Sarang, Domen Sembilan, melahirkan rasa syukur kepada Ewon, atas usaha beliau sehingga Tamu Desa yang lebih selesa untuk penjaja dan pengunjung ini berjaya disiapkan.


Domen menjelaskan bahawa sebelum ini, keadaan tamu mingguan di Kampung Sarang agak usang, namun dengan adanya bangunan baharu ini, ia telah menyuntik semangat kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan.


Sipaun Barukon, seorang pengunjung tetap Tamu Desa Kampung Sarang, turut berterima kasih atas pembinaan bangunan baru tamu desa ini.


"Walaupun Datuk Ewon bukanlah YB di kawasan Kampung Sarang, beliau tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan menyediakan premis untuk aktiviti perniagaan di setiap kampung," ujar beliau.


Maslinah Bidar, seorang peniaga mingguan di tamu tersebut, juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Ewon atas kemudahan yang mereka nikmati daripada bangunan baru ini.


Beliau berharap ada kesinambungan dengan menaik taraf kawasan tamu, seperti pemasangan pagar di sekeliling untuk mencegah haiwan ternakan seperti lembu daripada memasuki kawasan tamu agar kebersihan sentiasa terjaga.


Pendapat ini turut disokong oleh Sikin @ Umar Gabah, seorang peniaga dan juga Imam di Masjid Kampung Sarang.


“Kami sangat berterima kasih kepada Datuk Ewon yang telah memberikan kami keselesaan untuk berniaga, namun kami berharap ada kesinambungan untuk memagar kawasan tamu ini agar ia sentiasa bersih dan terjaga,” katanya.


Pengerusi Tamu Desa Kampung Sarang, Mohd. Shah Maulah, yang juga Ketua Cawangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kampung Sarang, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon.


“Saya mengenali dan memahami gerak kerja Datuk Ewon, yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Belud dan Presiden UPKO Malaysia. Beliau sentiasa mengutamakan kesejahteraan komuniti dan berpegang pada motto untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah,” kata beliau.


Para penjaja dan pengunjung ini turut hadir semalam pada 12 November ketika lawatan singkat Ewon untuk meninjau perkembangan projek pembinaan Tamu Desa Kampung Sarang.


Dalam lawatan itu, Ewon meluangkan masa beramah mesra dengan penjaja dan pengunjung, bahkan turut membeli dan menikmati hidangan bersama mereka.


Beliau juga mendengar secara langsung permasalahan serta aduan daripada komuniti, yang menunjukkan komitmennya dalam memahami keperluan masyarakat setempat.

Comments


bottom of page