Penjawat awam diingatkan mohon pinjaman melalui koperasi sah untuk elak penipuan
- nabalunews
- Dec 23, 2024
- 1 min read

22 Disember 2024
PETALING JAYA: Penjawat awam diingatkan untuk berhati-hati dalam urusan pinjaman kewangan dengan memilih koperasi yang sah dan berdaftar bagi memastikan keselamatan dan mengelak menjadi mangsa penipuan atau skim ceti haram.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, menegaskan bahawa langkah ini penting demi melindungi penjawat awam daripada risiko kewangan yang tidak diingini.
“Lebih 800,000 penjawat awam telah membuat pinjaman melalui koperasi. Dari segi konteks perniagaan, ini baik kerana ia meningkatkan pendapatan koperasi.
“Namun, saya ingin ingatkan supaya hanya membuat pinjaman melalui koperasi yang sah. Jangan terpengaruh dengan scammer atau ceti haram yang menawarkan promosi tidak masuk akal,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Alumni Haji Selangor Berhad di sini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pinjaman melalui koperasi yang sah menawarkan kelebihan seperti kadar faedah yang lebih rendah dan syarat pinjaman yang lebih baik.
“Kami akan memastikan semua arahan daripada kerajaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), diikuti dengan ketat, dan tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyalahgunakan dokumen gaji sebagai jaminan untuk mendapatkan pinjaman.
Comments