Penjawat awam disaran tingkatkan perkhidmatan selepas kenaikan gaji SSPA
20 Disember 2024
SUNGAI PETANI: Penjawat awam diingatkan untuk meningkatkan produktiviti dan integriti dalam perkhidmatan mereka susulan pelaksanaan kenaikan gaji pertama di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuatkuasa semalam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat, menyatakan bahawa saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar penjawat awam memberikan pulangan yang setimpal dengan kenaikan gaji tersebut harus dijadikan panduan.
"Pulangan itu merangkumi peningkatan produktiviti dan integriti dalam kalangan penjawat awam selaras dengan kenaikan gaji yang diterima," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Warga Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Muda, di sini.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas inisiatif kenaikan gaji yang memberi manfaat besar kepada anggota perkhidmatan awam dan pesara.
Kenaikan gaji sebanyak lapan peratus yang bermula pada Disember 2024 ini merupakan sebahagian daripada pelarasan secara berfasa di bawah SSPA.
Penjawat awam Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berperingkat, iaitu lapan peratus pada Fasa 1 dan tujuh peratus pada Fasa 2, bermula Januari 2026.
Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi pula, pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus akan diberikan dalam dua fasa, dengan empat peratus pada Fasa 1 dan tiga peratus pada Fasa 2.
Kommentare