top of page

Penolong Pengarah Kastam dipenjara dan didenda kerana minta rasuah RM3, 000

nabalunews

12 Mac 2025

TAWAU: Seorang penjawat awam dihukum penjara satu tahun dan didenda RM15,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda, hari ini, selepas didapati bersalah meminta rasuah RM3,000, tujuh tahun lalu.


Ab Kassim AB Kais, 56, yang merupakan Penolong Pengarah Kastam dijatuhkan hukuman itu di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau oleh Hakim Jason Anak Juga di akhir kes pembelaan.


Tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 selepas dipanggil bela diri pada 21 Oktober 2024 selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.


Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman penjara ditangguhkan, manakala hukuman denda perlu dibayar pada hari ini.


Berdasarkan kertas pertuduhan, Ab Kassim yang ketika kejadian bertugas sebagai Penolong Pengarah Kastam di Kastam Diraja Malaysia Cawangan Tawau didakwa meminta wang rasuah berjumlah RM3,000 daripada Chua Soon Heng.


Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 8 Ogos 2018 bertempat di Bilik Ketua Cawangan Perkastaman, Wisma Kastam Jalan Dunlop, Tawau sebagai dorongan untuk melepaskan bot dan enjin milik Chua yang ditahan Kastam kerana dikatakan tidak membuat declaration (pengisytiharan) bagi enjin bot.


Pendakwaan SPRM dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee, manakala, tertuduh diwakili peguam Dominic Chew Ban Huat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page