Penternak Bundu Tuhan terima sumbangan mesin pengisar makanan ternakan
2 Disember 2024
RANAU: Kesukaran golongan penternak di Bundu Tuhan, Ranau untuk meneruskan perniagaan akibat kenaikan kos makanan ternakan mendapat perhatian Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Rogers Tiam yang menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berupa mesin pengisar makanan kepada kumpulan penternak terbabit di sini pada Ahad.
Sebelum ini kumpulan penternak terbabit menemui Rogers untuk menyampaikan keluhan mereka.
Menurut seorang daripada penternak itu yang hanya dikenali Anthonius, kos makanan ternakan adalah kos utama dalam bidang penternakan.
"Apabila bahan makanan ternakan meningkat, penternak akan mengalami kerugian kerana kos operasi tidak seimbang dengan harga pasaran, oleh sebab itu kami memerlukan mesin pengisar bagi mengurangkan kos makanan ternakan.
"Pengisar ini akan digunakan bagi mengisar makanan alternatif seperti batang pisang dan lain lain. Seterusnya mengurangkan kebergantungan dengan pembelian makanan di kedai," katanya.
Anthonius bagi pihak rakan-rakannya merakamkan penghargaan kepada Rogers atas sumbangan ini.
"Saya mewakili rakan-rakan yang lain mengucapkan terima kasih," katanya.
Sementara itu Rogers berkata sumbangan ini adalah sebagai tanda sokongan kepada penternak terbabit
"Semoga mereka terus cekal berusaha dan berdikari memajukan diri dalam perniagaan bidang penternakan," katanya.
Comentarios