top of page
nabalunews

Penubuhan PERMAP jadi platform kukuh untuk generasi muda Pensiangan raih kejayaan dalam pelbagai bidang


10 Oktober 2024


PENSIANGAN: Para mahasiswa dari Pensiangan telah berjaya menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Mahasiswa Pensiangan (PERMAP).


PERMAP diibaratkan sebagai kompas yang mengarahkan generasi muda, khususnya dari Pensiangan, untuk terus maju dalam dunia pendidikan.


Idea untuk menubuhkan PERMAP mula dibincangkan pada 2 Februari 2022 dan akhirnya, pada 28 Ogos 2023, persatuan ini berjaya didaftarkan secara rasmi melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (e-Roses).


Menurut Yang Di-Pertua PERMAP, Dr. Jacquelina Karimon persatuan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan masyarakat Pensiangan yang meliputi Pensiangan, Daerah Kecil Pagalungan, Daerah Nabawan, Daerah Sook, Tulid hingga ke Ansip.


PERMAP juga bersikap terbuka dalam menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak, sama ada dari agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan, demi melaksanakan program-program yang berimpak tinggi.”


Timbalan Yang Di-Pertua PERMAP, Rudey Asok menambah, harapan persatuan ini adalah agar generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara, Sabah,.dan khususnya daerah Pensiangan, mendapat akses pendidikan yang berterusan.


Ini penting demi mengubah masa depan daerah tercinta ini ke arah yang lebih gemilang.


"Kami ingin memastikan lebih ramai anak muda berjaya menjejakkan kaki ke menara gading di masa depan," katanya.


Beliau juga menekankan bahawa kejayaan dalam mendapatkan pendidikan mampu memberikan impak besar terhadap masa depan ekonomi keluarga, masyarakat, dan negara.


"Bukan sahaja pendidikan berperanan sebagai pemangkin ekonomi, ia juga memainkan peranan penting dalam memperbaiki kehidupan sosial, serta mengajar kita tentang kepentingan nilai-nilai kemasyarakatan, termasuk menjaga hubungan dengan sesama manusia, alam sekitar, dan Tuhan. Malah, pendidikan adalah asas kepada kemajuan tamadun sesuatu bangsa atau kaum," jelas Rudey lagi.


Menurut Rudey, penubuhan PERMAP diharapkan dapat menjadi platform yang kukuh untuk generasi muda Pensiangan meraih kejayaan dalam pelbagai bidang, selain memperkasakan pembangunan masyarakat setempat melalui pendidikan yang holistik dan inklusif.

Comments


bottom of page