Penunggang motosikal cuba lari pemeriksaan polis dikenakan empat saman
- nabalunews
- 8 minutes ago
- 1 min read

29 April 2025
TAWAU: Penunggang motosikal yang dirakam cuba melarikan dari pemeriksaan polis sebelum tular di media sosial dalam kejadian di bulatan Batu 4, Jalan Apas, semalam, dikenakan empat saman trafik.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian jam 7.50 pagi itu berlaku ketika dua anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sedang melakukan tugas 'point duty'.
Katanya, semasa sedang melancarkan lalu lintas, seorang penunggang motosikal berhenti dalam keadaan mencurigakan.
"Apabila pemeriksaan hendak dibuat, penunggang motosikal menjadi panik lalu
terpulas minyak menyebabkan anggota trafik berkenaan terjatuh,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan kemudiannya mendapati lelaki berusia 28 tahun itu melakukan kesalahan trafik dan dikenakan empat keping saman.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang awam agar memberikan kerjasama
kepada polis bertugas yang hendak menjalankan pemeriksaan ke atas mereka.
Terdahulu, rakaman video kejadian turut tular di media sosial sekitar jam 10.23 pagi yang memaparkan kejadian penunggang motosikal tersebut cuba lari dari pemeriksaan polis.
Comments