Penunggang motosikal Harley-Davidson maut

24 Februari 2025
KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan dalam kemalangan di Jalan Kepayan, berhampiran 88 Market, di sini, pagi tadi.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Harley-Davidson itu dilaporkan terhumban ke dalam parit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.26 pagi.

Katanya, sepasukan 11 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Kemalangan membabitkan sebuah motosikal Harley-Davidson dan Proton Saga. Penunggang motosikal didapati terhumban ke dalam longkang sedalam tiga meter.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ordine berkata, pemandu Proton Saga yang berusia lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, pasukan bomba kemudian bertindak mengangkat mangsa menggunakan stretcher sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.09 pagi,” katanya.
Comments