Penunggang motosikal maut
3 Februari 2025
KOTA KINABALU: Akibat lubang jalan rosak, seorang penunggang motosikal maut selepas terjatuh dalam kejadian di Jalan Lintas, berhampiran jejambat Lido, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa berusia 30-an itu dilaporkan parah di kepala selepas terbabas lebih enam meter di atas jalan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Ex5, bergerak dari arah City Mall menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlanggar lubang pada permukaan jalan rosak di lorong tengah.
“Akibat kejadian itu, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terjatuh sebelum terbabas lebih enam meter di atas jalan.
“Mangsa tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1 HQEI) Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun Kasim berkata, pihak hospital memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.35 petang ketika menerima rawatan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Comments