Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Tamparuli-Ranau
16 Disember 2024
TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kampung Kaung Lapai, Jalan Tamparuli-Ranau, lewat malam semalam.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Supt Noraidin Ag. Maidin, memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 11.20 malam Ahad, melibatkan sebuah motosikal Modenas Kriss yang dipercayai terbabas sendiri sebelum mangsa digilis oleh sebuah kenderaan lain yang identitinya masih belum dikenal pasti.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Polis sedang giat mengesan pemandu kenderaan yang turut terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beberapa individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran, Insp. Haffiz, di talian 011-61600964 atau balai polis berhampiran.
Noraidin turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan kemalangan.
Comments