Penyanyi trio Soulcutz dari Australia berada di Sandakan bagi menghadiri Sepilok Jazz Edisi Ke-3
6 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Penyanyi trio Soulcutz Australia yang terkenal dengan persembahan akapela dan pernah berada dalam 12 tangga teratas pertandingan X-Factor pada 2014, kini berada di Sandakan bagi memenuhi jemputan ke Sepilok Jazz Edisi Ke-3 anjuran Friends Of Sea Turtles Education and Research (FOSTER) yang diadakan malam ini dan malam esok di Rainforest Discovery Centre (RDC) Sandakan.
Sepilok Jazz diadakan untuk mengumpul dana bagi usaha pemuliharaan penyu selain menyampaikan mesej akan kepentingan menjaga dan melaksanakan konservasi penyu untuk generasi akan datang.
Pada Khamis, trio itu juga berkesempatan berkunjung ke Pulau Libaran dan bertemu murid serta guru-guru dan ibubapa di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Libaran dan menyampaikan beberapa buah lagu serta merakamkan ucapan terima kasih atas sambutan yang baik kalangan penduduk pulau itu yang juga terkenal dengan usaha pemuliharaan penyu.
Ketika di Pulau Libaran, Soulcutz Australia juga dibawa melawat ke Walai Penyu Conservation Park di pulau itu oleh Presiden FOSTER, Alexander Yee yang juga dihadiri Pengarah Muzik, Cheong Kok Ann.
Soulcutz Australia juga dibawa menyaksikan pelepasan anak penyu ke kawasan pantai dekat kawasan itu.
Malam ini dan esok, selain trio Soulcutz, beberapa penyanyi jazz antarabangsa dari negara Filipina selain tempatan Sabah serta Semenanjung Malaysia juga dijadualkan membuat persembahan mereka di RDC Sandakan yang mana jualan produk berasaskan kitar semula dan tempatan juga akan dijual bagi menambah dana berkenaan.
Comentários