Penyasaran semula subsidi diesel tidak melibatkan Sabah, Sarawak, hanya Semenanjung sahaja – PM
3 Nov 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa penyasaran semula subsidi diesel secara berfasa hanya akan dilaksanakan di Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.
Jelas beliau, keputusan ini dibuat kerana diesel digunakan secara menyeluruh di dua-dua negeri di Borneo itu dan penyasaran semula subsidi berkenaan akan memberi kesan besar kepada rakyat di sana.
"(Penyasaran) subsidi diesel digunakan hanya di Semenanjung, sebab di Sabah Sarawak diesel digunakan secara menyeluruh jadi kalau nak laksanakan kena kaji dampaknya begitu rupa," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kos keseluruhan subsidi kini berjumlah RM81 bilion yang turut dinikmati oleh 35 juta warga asing serta golongan maha kaya yang tidak memerlukan bantuan kerajaan.
"Tetapi nelayan yang menerima subsidi diesel itu diteruskan juga (RM1.65 seliter), kenderaan diesel dalam kategori pengangkutan awam termasuk van dan bas sekolah juga kekal RM1.88 seliter. Jadi saya harap dapat menerima penyasaran semula diesel ini kerana ia boleh mengurangkan beban kerajaan," katanya.
Tambah beliau, harga diesel bersubsidi ketika ini adalah RM2.15 seliter berbanding harga pasaran kini yang mencecah RM3.78 seliter.
Beliau berkata, penyasaran semula subsidi diesel ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menguruskan perbelanjaan secara lebih cekap dan berhemah serta memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Commentaires