top of page

Penyelarasan pemantauan penting jayakan projek pembangunan persekutuan di Sabah - Ewon

Wartawan Nabalu News

15 Mac 2025


KOTA KINABALU: Penyelarasan pemantauan amat penting bagi memastikan semua projek pembangunan persekutuan di Sabah dapat dijayakan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Sehubungan itu katanya, penubuhan Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Persekutuan Sabah, antara langkah proaktif kerajaan persekutuan dan negeri memastikan semua projek persekutuan di negeri ini yang masih dalam pra-pelaksanaan dapat dimulakan.


“Dalam mesyuarat Bil 1/ 2025 pada Januari lalu, jumlah keseluruhan projek pra-pelaksanaan di Sabah adalah 207 projek, namun berjaya dikurangkan kepada 176 projek selepas beberapa projek memasuki fasa pelaksanaan.


“Ini menunjukkan perkembangan positif hasil penyelarasan dan pemantauan berterusan yang dilaksanakan oleh kementerian dan jabatan-jabatan yang berkaitan,” katanya, dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat itu bersama Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir. Shahelmey Yahya, di Pejabat Setiausaha Persekutuan, Kompleks Pentadbiran, Mini Putrajaya, di sini, kelmarin.


“Mesyuarat kali ini memberi fokus kepada projek-projek persekutuan di Sabah yang masih berada di peringkat pra-pelaksanaan khususnya di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


“Bagi projek di bawah KPM, daripada 57 projek yang dibincangkan, 14 projek kini dalam pelaksanaan dan 19 dalam proses perolehan/tender.


“Manakala selebihnya dalam proses permohonan Notice of Change (NOC), penelitian lanjut atau ada yang dipinda untuk dipohon semula dalam Rancangan Malaysia akan datang.


“Bagi KKM, daripada 12 projek yang dibincangkan dalam mesyuarat itu, satu projek sudah dalam pelaksanaan, selebihnya dalam proses permohonan Notice of Change (NOC), penelitian lanjut atau ada yang dipinda untuk dipohon semula dalam Rancangan Malaysia akan datang,” katanya.


Selain memantau status projek, mesyuarat ini juga mencadangkan intervensi yang bersesuaian bagi mempercepat pelaksanaan dan memastikan tiada kelewatan berulang.


Ewon turut menegaskan bahawa semua agensi pelaksana perlu memastikan maklumat terkini projek dikemas kini secara berkala dalam Sistem MyProjek bagi menjamin ketepatan laporan dan mempercepat penyelesaian isu teknikal yang timbul.


Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Seri Hj. Rosli Isa; Timbalan Ketua Pengarah (Pemantauan dan Penilaian Pembangunan) Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hj. Muhamad Zamani Mohd Ali; serta wakil-wakil kementerian dan agensi teknikal berkaitan.

コメント


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page