PENYELIDIK ANTARTIKA RINTIS KOKOL HOBBITON FOREST
Teks oleh: Hamidah Len
Foto oleh: Kokol Hobbiton Forest/Nemophotolist
KOTA KINABALU: Bagi penggemar aktiviti lasak dan pencinta keindahan alam semulajadi, Kokol Hobbiton Forest kini menjadi satu destinasi wajib dikunjungi.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini antaranya memancing, berkhemah, mandi-manda, berkelah dan merentas hutan termasuk kawasan air terjun, menjadikannya pusat rekreasi mesra sekeluarga.
Pusat rekreasi persendirian tersebut dirintis oleh pensyarah Fakulti Sains dan Sumber Alam Universiti Malaysia Sabah, Professor Madya Dr. Justin Sentian yang juga pernah menjalankan penyelidikan berkaitan suhu dan perubahan cuaca di Antartika.
Membesar di Kampung Bundu Tuhan, Kundasang menjadikan Justin Sentian seorang yang kental, lasak, gemar akan cabaran dan sentiasa menghargai masa.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac 2020, saya menghabiskan masa seharian di kawasan hutan persekitaran rumah dan membuat sendiri laluan masuk ke Kokol Hobbiton Forest menggunakan jentera berat.
“Tuntutan tugas sebagai ahli akademik sering menuntut saya mengembara ke banyak tempat untuk menghadiri pelbagai persidangan dan kajian ilmiah sekaligus banyak memberi inspirasi di sepanjang lawatan tersebut.
“Bagi Kokol Forest Cottage pula, dekorasi dan idea binaan setiap sudut rumah dibuat sendiri dengan mengambil inspirasi cita rasa Inggeris serta idea daripada rakan-rakan arkitek,” kata Justin yang pernah menetap selama tiga tahun di Lancaster, England.
Sementara itu, seorang pengamal undang-undang, Junariah Datu Derin, 43, menjelaskan Kokol Hobbiton Forest menyajikan pemandangan istimewa di sepanjang laluan pendakian di mana pengunjung akan berterusan menyusuri hulu sungai dan kawasan air terjun.
“Keadaan laluan pendakian yang seakan akan masih belum dilalui pengunjung sangat mencabar kecergasan kumpulan kami.
“Persekitaran hutan dan air terjun sepanjang perjalanan menambah suasana sejuk walaupun pada waktu tengahari dan ia menjadikan Kokol Hobbiton Forest sangat berbaloi untuk dikunjungi.
“Apatah lagi, tidak terdapat sedikitpun sampah domestik kelihatan dan ini sangat semulajadi,” ujar Junariah yang merupakan ahli Nemophotolist kumpulan pendaki bukit sekitar bandaraya Kota Kinabalu yang juga merupakan kumpulan pertama meneroka laluan berbukit Kokol Hobbiton Forest Februari lepas.
Cabaran rentas hutan dan air terjun di kokol Hobbiton Forest agak ekstrem bermula seawal perjalanan dengan lereng bukit curam, anda perlu berhati-hati dengan keadaan batu yang agak licin dan beberapa laluan pendakian ‘rock climbing’ selain perlu berpaut pada akar kayu.
Bagi Junariah yang berasal dari Kampung Kota Peladok Kota Belud, inspirasi suasana Inggeris dapat dirasai seawal berada di kawasan taman bunga terbuka di persekitaran kediaman Justin.
Isteri Justin, Marcela G. Ambrose menzahirkan impiannya agar Kokol Hobbiton Forest dapat membantu penduduk sekitar menjana peluang ekonomi.
“Rumah hijau sebagai fasiliti untuk nurseri bunga-bungaan sedang dibina dan kini saya sudah mula memasarkan bunga-bungaan yang saya perolehi dari pelbagai sumber.
“Kami berharap tempat ini dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kini mempunyai dua orang pemandu/penunjuk arah yang juga merupakan bekas pelajar saya di SMK Bandaraya. katanya yang telah berkhidmat lebih sepuluh tahun sebagai pendidik.
Comentarios