top of page

Penyeludup minyak petrol ditahan

nabalunews


Minyak petrol yang cuba diseludup ke negara jiran.

27 Januari 2025


KUDAT: Cubaan dua lelaki warga asing menyeludup minyak petrol ke negara jiran gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Pulau Langdayang, Pitas, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun ditahan ketika cuba terjun ke laut manakala rakannya dapat melarikan diri ke daratan berhampiran.


Pengarah APMM Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot suspek dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera/Op Tiris/Op Pluto Timur dan Op Cegah Pati di lokasi.



Katanya, sebaik cuba dihampiri, kedua-dua lelaki terbabit bertindak terjun ke laut untuk melarikan diri.


“Bagaimanapun, seorang suspek berjaya ditahan semula, manakala seorang lagi dapat melarikan diri ke daratan berhampiran.


“Pemeriksaan lanjut terhadap bot suspek menemui 12 tong drum biru dipercayai berisi bahan api petrol,” katanya dalam kenyataan media, semalam.


Menurutnya, suspek yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.


Katanya, pasukan operasi terus menahan suspek dan membawa bot suspek ke Jeti Marina Kudat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.


“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


Sehubungan itu, Hasbullah menyeru masyarakat khususnya komuniti maritim di daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas untuk membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah di laut.


Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page