Peperiksaan SPM Hari Pertama Berjalan Lancar
3 Disember 2024
KUALA LUMPUR : Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula pada Isnin dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu berjalan dengan baik termasuk di negeri yang dilanda banjir, hasil daripada perancangan rapi dan koordinasi efektif antara kementerian serta agensi berkaitan, yang bertungkus-lumus memastikan tiada pelajar tercicir daripada menduduki peperiksaan ini.
Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang dijadualkan bermula Isnin 1 Disember hingga 5 Disember diteruskan, termasuk di sembilan negeri yang dilanda banjir dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung.
Di Terengganu, banjir yang masih berlarutan di negeri itu tidak merencatkan perjalanan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang melibatkan 261 pelajar terkesan banjir, dengan kesemua pelajar telah dibawa daripada pusat pemindahan sementara (PPS) ke pusat peperiksaan alternatif.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Jelani Sulong berkata proses membawa pelajar terbabit bermula seawal 6 pagi Isnin dengan bantuan pelbagai agensi keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Perjalanan berjalan lancar mengikut prosedur Ops Payung yang dilaksanakan JPNT. Seramai 261 pelajar yang berada di PPS selamat tiba di pusat peperiksaan alternatif pagi ini.
“Ada pelajar yang berpakaian sekolah, baju sukan dan pakaian biasa yang sopan. Apa juga pakaian, mereka tetap ceria dan tampak bersemangat untuk menduduki peperiksaan,” katanya yang turut melakukan tinjauan di pusat peperiksaan alternatif, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan, Kuala Nerus pagi Isnin, lapor Bernama.
Jelani berkata sebanyak 18,907 calon SPM termasuk 1,734 calon yang terkesan banjir akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
Di Kelantan, seramai 144 calon SPM di SMK Kuala Krai hadir menjalani perperiksaan meskipun kawasan mereka terjejas akibat banjir.
Peperiksaan SPM 2024 yang bermula hari ini hingga 6 Februari 2025 melibatkan 402,956 calon dan membabitkan 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Comments