top of page

Peranan besar polis jaga keamanan mudahkan aktiviti ekonomi dan keusahawanan: Ewon

Wartawan Nabalu News

10 Mac 2025


PENAMPANG: Peranan besar pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keamanan dan keselamatan negara menjadi faktor utama memudahkan aktiviti keusahawanan dan ekonomi negara terus berkembang.


Sehubungan itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan atas jasa dan pengorbanan mereka memastikan keamanan negara terus terpelihara.


“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam pembangunan keusahawanan, saya melihat bagaimana keamanan negara telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi.


“Ini kerana usahawan memerlukan suasana yang aman, damai dan selamat untuk menjalankan perniagaan mereka tanpa gangguan.

“Prestasi ekonomi negara, termasuk sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi, juga menunjukkan peningkatan tahun lalu berbanding sebelumnya. Saya percaya ini juga disumbangkan oleh peranan anggota keselamatan kita,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Penyampaian Sumbangan kepada golongan asnaf, anak yatim, balu dan pesara polis Daerah Penampang, di Dewan Terbuka IPD Penampang, di sini, semalam.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang turut menghargai kegigihan, kecekapan dan keprihatinan semua anggota keselamatan terutamanya semasa bencana banjir di Penampang, tahun lalu.


“Saya menyaksikan sendiri bagaimana anggota keselamatan kita bertungkus lumus menyelamat dan memindahkan mangsa-mangsa banjir ketika itu.


“Sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan kepada anggota polis di daerah ini, saya bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM30,000 daripada peruntukan Ahli Parlimen kepada kelab anggota IPD Penampang bagi keperluan kebajikan anggota dan keperluan-keperluan lain.

“Walaupun jumlah sumbangan ini kecil berbanding jasa dan pengorbanan mereka, namun ia adalah tanda penghargaan kita atas peranan besar anggota polis memastikan keamanan negara terus terpelihara,” katanya.


Mengenai pembiayaan keusahawanan, Ewon berkata, kementeriannya melalui Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) menyediakan skim pembiayaan khusus untuk para pesara dan veteran yang ingin menceburi bidang perniagaan.


“Program Inisiatif Keusahawanan Veteran dan Pembiayaan (I-VIP) untuk golongan pesara dan veteran ini saya lancarkan pada tahun lalu memberi peluang kepada golongan pesara dan veteran mendapatkan bantuan pembiayaan, bimbingan, latihan dan khidmat nasihat daripada PERNAS,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada para pesara, balu, anak yatim, dan asnaf kawasan Penampang.


Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, Ketua Polis Daerah Penampang Sammy Newton dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang.

Коментарі


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page