top of page
nabalunews

Peranan doktor penting dalam menjamin sistem kesihatan negara

12 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menekankan kepentingan peranan doktor dalam memastikan sistem kesihatan negara kekal berfungsi dengan baik, terutama ketika berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.


Beliau turut menggesa agar sumbangan golongan ini diberi penghargaan yang sewajarnya.


“Semasa pandemik COVID-19, kita memberi tekanan yang hebat kepada doktor. Cabaran kesihatan mental dan tekanan menjadi sangat hebat dalam kalangan pekerja sektor kesihatan di seluruh dunia termasuk Malaysia,” ujar Dr Dzulkefly dalam ucapan maya sempena sambutan Malaysian Medical Association Doctor’s Day 2024.


Beliau juga memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan akan terus menyokong dan melindungi para doktor dalam menjalankan tugas mereka.


“Sebagai Menteri Kesihatan, saya berdiri di hadapan anda bukan sekadar sebagai pemimpin, tetapi tanggungjawab saya untuk memastikan doktor kita disokong, dilindungi dan dihargai,” katanya.


Dr Dzulkefly memuji dedikasi dan daya tahan golongan doktor yang menjadi tonggak kepada sistem penjagaan kesihatan negara.


“Kepada semua doktor, dedikasi dan daya tahan anda memberi inspirasi kepada kami semua dan anda adalah asas sistem penjagaan kesihatan,” tambahnya.


Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan komited untuk memastikan doktor menerima sokongan, pengiktirafan, dan penjagaan yang setimpal dengan pengorbanan mereka.

Comments


bottom of page