Perayaan Natal Majlis Gereja-Gereja Membakut, ‘Love in action’ disambut meriah
23 Disember 2024
KIMANIS: Majlis Perayaan Krismas Gereja-Gereja Membakut (MGGM) yang terdiri daripada 5 Dominasi gereja di Membakut disambut meriah di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick Membakut, semalam.
Pengerusi Induk MGGM, James Kilon berkata, 5 dominasi gereja itu adalah gereja Roman Katolik, gereja Anglikan, gereja Basel (BCCM), gereja Sidang Injil Borneo (SIB) dan gereja Kalvari.
Pengerusi Penganjur, Penginjil Frances Ayeb berkata, tema tahun ini adalah “Love in action”.
Majlis ini dihadiri kira-kira 500 umat kristian dari sekitar daerah Membakut.
Majlis ini dirasmikan oleh Rowindy Lawrence Odong, Pengerusi Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE).
Rowindy berkata, tema “Love in Action” atau “Kasih melalui Tindakan” membawa satu mesej yang sangat bermakna.
"Sebagai umat yang percaya kepada kasih Tuhan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menterjemahkan kasih itu ke dalam tindakan yang nyata, sama ada melalui bantuan kepada mereka yang memerlukan, sokongan kepada mereka yang lemah, atau melalui kerjasama dan perpaduan antara masyarakat tanpa mengira latar belakang," katanya.
Majlis turut disajikan dengan persembahan-persembahan dari setiap dominasi gereja, pembahagian hadiah kepada kanak-kanak oleh Santa Klaus, cabutan tiket bertuah, pemotongan kek dan banyak lagi.
“Krismas bukan sekadar satu perayaan, tetapi sebuah peringatan kepada kita semua tentang pengorbanan, harapan, dan kasih sejati yang telah diajarkan oleh Tuhan melalui kelahiran Kristus, hari ini kita dapat melihat bagaimana lima dominasi gereja berkumpul dalam satu semangat perpaduan.
"Ini membuktikan bahawa walaupun kita berbeza dominasi, kita tetap satu dalam kepercayaan dan kasih yang sama. kehadiran pemimpin-pemimpin masyarakat, para katekis, dan wakil rakyat menunjukkan sokongan padu terhadap program seperti ini yang bukan sahaja memperkukuhkan semangat keagamaan tetapi juga hubungan komuniti," kata Rowindy lagi.
Antara yang hadir di majlis ini, Ketua Anak Negeri (KAN) Jonathan John yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N31 Membakut, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Rev. Fr. Boniface Kimsin, Penasihat MGGM, OKK Banjimin Ondoi, Mantan OKK Godfrey Daya, Mantan OKK Marcel Tay Jock Liang, Richard David Godomon, Pengetua SMK St Patrick Membakut, pemimpin-pemimpin masyarakat, pemimpin-pemimpin politik, pemimpin-pemimpin gereja, para katekis, pengerusi-pengerusi Komuniti Umat Katolik (KUK) dan pengerusi-pengerusi
Komuniti Kristian Dasar (KKD).
Rowindy berharap program seperti ini akan diteruskan di masa hadapan kerana ia menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara gereja, komuniti, dan masyarakat secara keseluruhan.
"Saya berharap, perayaan seperti ini akan terus menjadi inspirasi bagi kita semua untuk mencipta masyarakat yang lebih bersatu, harmoni, dan saling menghormati.
"Semoga program seperti ini akan diteruskan di masa hadapan, menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara gereja, komuniti, dan masyarakat secara keseluruhan," katanya.