PERKASAKAN OKU DALAM NORMA BAHARU
2 DEC 2020
KUALA LUMPUR: Mahu atau tidak, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang terdiri daripada 10 peratus penduduk Malaysia, perlu menyesuaikan diri melakukan perubahan seiring dengan pembudayaan norma baharu, susulan pandemik COVID-19 yang belum ada penyelesaiannya.
Dalam situasi mencabar hari ini, kepentingan golongan rentan itu bukan sahaja perlu dilindungi tetapi isu hak asasi manusia juga menjadi keutamaan, dalam memperkasakan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas bersama Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB) Silatul Rahim Dahman berkata, perubahan drastik yang berlaku hari ini terutama dalam pendidikan, pekerjaan, serta aspek kehidupan, boleh merencatkan usaha memperkasa OKU sepertimana diperuntukkan dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008.
“Perjuangan memperkasa OKU tidak hanya tertumpu kepada aspek kebajikan semata-mata, sebaliknya haruslah bersifat hak asasi manusia seperti pendidikan berkualiti,
pekerjaan bermaruah, tempat tinggal selesa, kesihatan terjamin dan persekitaran selamat.
“Isu-isu ini masih membelenggu kebanyakan OKU di negara ini,” katanya kepada Bernama bersempena Hari OKU Sedunia yang disambut esok (3 Dis).
Sambutan Hari OKU Sedunia mula diraikan di Malaysia pada 1981 sebagai sambutan Orang Cacat Antarabangsa, bersama negara anggota-anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tema peringkat kebangsaan tahun ini adalah ‘Membina Kesejahteraan OKU, Mendepani Perubahan’.
Silatul Rahim berkata bagi memperkasa golongan itu, Akta OKU perlu dipinda bagi penambahbaikan selari dengan keperluan semasa, antaranya mewajibkan ibu bapa mendaftar anak OKU dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, bagi mendapatkan jumlah tepat golongan itu serta memudahkan bantuan disalurkan.
Beliau berkata, pindaan akta itu juga boleh melibatkan penambahbaikan terhadap pendidikan golongan OKU, dengan mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang dikhaskan.
“Dasar satu peratus OKU dalam perkhidmatan awam yang kini masih belum mencapai sasarannya juga boleh dimasukkan dalam akta tersebut, bagi mewajibkan majikan melantik golongan OKU dalam sektor awam secara tetap.
“Melalui dasar sedia ada majikan ada pilihan untuk mengambil ataupun tidak OKU dalam jabatan masing-masing,” katanya.
Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (Pokuam) Suhairi Abdullah berkata, kehidupan sebelum wujudnya COVID-19 sudah mencabar buat warga OKU, justeru sokongan serta keprihatinan masyarakat, penting dalam membantu golongan itu menjalani rutin harian dengan lebih lancar.
Beliau menyarankan kerajaan mewujudkan peraturan khusus buat golongan OKU, bagi mengadaptasi norma baharu misalnya memberi laluan khas untuk mereka, ketika memasuki bangunan kerajaan atau pasar raya agar tidak perlu beratur bersama masyarakat normal.
Suhairi mengakui pelbagai usaha dilakukan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk golongan OKU, namun pemberian bantuan wang tunai secara ‘one-off’ tidak mampu membantu mereka bagi tempoh jangka panjang, sebaliknya bimbingan berterusan adalah lebih berkesan bagi menjadikan golongan tersebut berdikari terutamanya dalam bidang perniagaan.
“Saya melihat bidang boleh diterokai dalam norma baharu ini ialah perniagaan dalam talian. Kita lihat ramai berniaga dalam talian dan kita tidak mahu ketinggalan. Bimbingan berterusan, kursus perniagaan dan pemantauan daripada pihak berwajib sangat diperlukan agar kami tidak melakukan perniagaan setengah jalan,” katanya.
Selain itu, beliau berpendapat kemudahan disediakan kerajaan adalah mencukupi, namun mentaliti segelintir masyarakat telah melanggar hak asasi OKU, termasuk di kawasan tempat letak kereta yang dikhususkan kepada golongan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak Amir Hamidi Abdul Manan berkata, norma baharu yang mewajibkan pemakaian pelitup muka menyulitkan komunikasi antara warga OKU pekak, dalam bahasa isyarat Malaysia (BIM).
Jelasnya, golongan itu sukar membaca ekspresi wajah yang berperanan menyokong penyampaian idea dan emosi dalam bentuk isyarat visual dan ia menyebabkan warga pekak terlepas maklumat kesihatan terutama mengenai kesedaran, pendidikan dan pencegahan pandemik COVID-19 dalam versi BIM.
“Terdapat kes warga pekak yang memakai gelang pink keluar rumah dan ditahan oleh polis akibat salah faham, hal ini kerana tiada pihak berkuasa yang melanggan khidmat jurubahasa isyarat.
“Kekangan lain, kami tidak dapat hadir secara fizikal dalam semua program aktiviti anjuran Persatuan Pekak dan pihak-pihak lain...sekarang kami perlu membiasakan diri dengan pertemuan secara maya seperti aplikasi Zoom, Skype, Google Meeting dan sebagainya,” kata Amir Hamidi.
Dalam aspek pendidikan, beliau berpendapat kerajaan perlu melihat kekurangan penterjemahan bahasa isyarat seperti sisipan skrin jurubahasa BIM dalam semua rancangan mata pelajaran, untuk pembelajaran di rumah yang disiarkan oleh TV Pendidikan.
Justeru, beliau berkata kerajaan perlu menambah baik semua akses yang boleh dicapai warga pekak dengan memperbanyakkan sokongan, seperti penyediaan maklumat dalam versi BIM, pertambahan jurubahasa isyarat bertauliah, serta memperkasa BIM sebagai bahasa isyarat rasmi di Malaysia selepas bahasa kebangsaan. - Bernama
Comments