Perkenalkan Pakej Insentif dan Insentif Khas bantu rakyat Sabah
Oleh Rizoh Evied
Indeks Harga pengguna (IHP) yang mengukur inflasi utama di Malaysia telah mencatat peningkatan 3.3 peratus kepada 124.0 pada November 2021 daripada 120.0 setahun lalu. IHP juga mencatatkan kenaikan untuk tempoh Sembilan bulan berturut-turut.
Kadar inflasi yang lebih tinggi ini sudah tentu disebabkan peningkatan permintaan berikutan pembukaan semula ekonomi domestik dan pasaran global yang mendorong peningkatan harga barangan.
Peningkatan kadar inflasi negara yang tinggi turut menyumbang kepada kenaikan harga barang-barang keperluan harian seterusnya meningkatkan kos sara hidup rakyat dan mengurangkan taraf hidup mereka. Peningkatan ini juga turut mengurangkan nilai pendapatan sebenar para penjawat awam dan pekerja swasta kerana ia tidak diimbangi dengan kenaikan kadar gaji/elaun pekerja.
Hasil penelitian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada November 2021 lalu menunjukkan peningkatan IHP dipengaruhi oleh kenaikan harga pelbagai barangan terutamanya bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, pengangkutan dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain. Jabatan perangkaan Malaysia juga turut menyatakan inflasi dijangka terus meningkat kesan kenaikan harga global bahan api, peningkatan keperluan makanan dan bahan berkaitan seperti besi.
Kita akui bahwa kenaikan harga barangan adalah bersifat dinamik kerana ianya melibatkan interaksi penawaran dan permintaan, dibawah hukum pasaran bebas. Namun, kenaikan harga barang atau bahan secara mendadak dalam tempoh yang singkat dianggap ‘berlebihan’ dan tidak munasabah, justeru sukar diterima oleh rakyat terutamanya oleh pengguna yang berpendapatan rendah.
Dari segi persepsi, kenaikan harga barang boleh saja disebabkan manipulasi harga oleh pihak berkepentingan berdasarkan permintaan mendadak. Apa pun andaian, hakikatnya kenaikan harga barang pada pasca pandemik menambah lagi beban kelangsungan hidup keluarga berpendapatan rendah dan miskin tegar.
Harga komoditi seperti getah asli dan sawit telah meningkat pada kadar yang memberangsangkan, namun nilai sebenar pendapatan para petani dan pekebun tetap merosot kerana kuasa beli (wang) mengalami penurunan yang ketara berikutan peningkatan kadar inflasi yang tinggi.
Misalannya, harga runcit racun rumpai bagi membersihkan kebun getah pada Julai 2021 adalah RM65 bagi setiap 4 liter, meningkat kepada RM108 pada Disember 2021. Namun, harga getah yang menjadi sumber pendapatan utama kebanyakan pekebun kecil di Sabah, tidak mengalami kadar kenaikan yang sama bagi tempoh tersebut.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menganggarkan bahwa kadar inflasi dijangka menurun kepada purata 2.1 peratus pada pertengahan tahun 2022 berikutan kekangan rantaian bekalan global akan mulai berkurangan dan harga komoditi kembali normal. Namun begitu, kerajaan dan rakyat perlu berjaga-jaga dengan gelombang penularan varian Omicron kerana ianya boleh mencetuskan semula ketidaktentuan rantaian bekalan global dan seterusnya menambah tekanan inflasi dalam ekonomi domestik.
Peningkatan kadar inflasi negara yang tinggi dan kenaikan harga produk makanan secara mendadak dan tidak terkawal memberikan gambaran kepada pelabur dan rakyat bahwa pengeluaran komoditi Makanan di Malaysia tidak memiliki kapasiti ‘bertahan’ kerana sangat sensitif kepada perubahan pasaran. Ini kerana pengeluaran makanan di Malaysia masih bergerak dalam kadar perlahan dan kebergantungan kepada import masih serius serta terus meningkat dari tahun ke tahun. Data DOSM bagi tahun 2020 menunjukkan bahwa Malaysia mengimport RM55.5 bilion produk makanan bagi memenuhi keperluan dan permintaan pengguna tempatan.
Bagi penduduk Sabah, kenaikan harga barang tersebut lebih dirasai di wilayah Borneo kerana selama ini barangan seperti produk makanan diproses, barangan harian pengguna, kasut dan pakaian, kenderaan dan alat ganti dan bahan binaan lebih mahal di Sabah dan Sarawak berbanding di semenanjung. Situasi ini disebabkan oleh logistik, saiz pasaran dan sistem pengedaran barangan kerana Sabah dan sarawak setakat ini tidak mempunyai kilang pengeluaran bagi sebahagian besar barang keperluan tersebut dan perlu mendapatkannya dari tanah Semenanjung.
Di peringkat persekutuan, kerajaan telah pun membentangkan inisiatif, insentif dan bantuan tunai dalam belanjawan Negara 2022 bagi membantu golongan sasar berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup berikutan peningkatan kadar inflasi negara yang tinggi dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Insentif dan bantuan tunai tesebut lebih bersifat sementara dalam membantu rakyat berhadapan kenaikan kos sara hidup dan tidak banyak membantu menurunkan kadar inflasi Negara yang mempengaruhi nilai matawang ringgit dan minat pelabur asing bagi mendukung pembangunan ekonomi Negara yang lebih stabil.
Dalam usaha kerajaan melaksanakan RMK-12 dan meningkatkan KDNK Negara serta menurunkan kadar nisbah hutang negara secara bertahap, kerajaan perlu melihat secara serius sektor pengeluaran produk makanan dan pembuatan barangan keperluan asas agar Negara mempunyai kemampuan ‘bertahan’ dan menurunkan kebergantungan kepada produk makanan dan barangan import, apabila krisis kesihatan dan ekonomi berlaku.
Kerajaan Negeri juga perlu mendukung usaha persekutuan melaksana pembangunan yang proaktif untuk menjadikan Sabah sebagai hub pengeluaran produk komoditi, produk makanan mentah dan produk makanan diproses bagi kegunaan domestik dan pasaran antarabangsa.
Di peringkat negeri, Kerajaan melalui program pemulihan ekonomi dalam belanjawan Negeri 2022 setakat ini belum mengumumkan apa-apa inisiatif atau insentif jangka pendek secara khusus untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat Sabah berikutan peningkatan kadar inflasi negara yang tinggi dan kenaikan harga barang keperluan dan kos perkhidmatan (pengangkutan).
Kerajaan negeri boleh memberikan subsidi harga bagi beberapa keperluan pertanian dan bahan binaan yang tiada dalam senarai kawalan harga oleh Persekutuan seperti racun rumpai, simen dan barangan lain, atau melaksanakan semula rebat bil elektrik dan air bagi penggunaan domestik dan industri penghasilan produk berasaskan makanan.
Sementara kerajaan melaksana pembangunan strategik bagi pembangunan logistik perlabuhan, pembinaan kilang-kilang pengeluaran produk dan memperbaiki jaringan jalan raya sebagai sistem pengedaran, seiring dengan pemansuhan sistem dasar kabotaj dan kolaborasi Airasia melalui pinjaman dana pembangunan logistik berkaitan pemasaran produk makanan, kerajaan negeri boleh melaksanakan inisiatif baharu dibawah peruntukan tambahan Negeri khusus bagi mengurangkan impak kenaikan harga barang dan perbezaan harga barang ketara antara wilayah semenanjung dan wilayah Sabah.
Berdasarkan pembentangan belanjawan Negeri 2022 lalu, Kerajaan negeri masih mempunyai dana sekiranya berhasrat melaksanakan inisiatif khas tersebut kerana Belanjawan Negeri 2022 Negeri Sabah telah menganggarkan lebihan belanjawan (Surplus budget) berjumlah RM110.68 juta. Pada masa yang sama, Kerajaan negeri juga kini mempunyai sumber pendapatan ‘tetap’ sejak 2021 iaitu hasil cukai produk petroleum yang dianggarkan sebanyak RM1.1 bilion bagi tahun 2022, selain bayaran royalti Petronas berjumlah RM1.2 bilion bagi tahun yang sama.
Sebab itu, inilah masa yang sesuai untuk menggunakan sebahagian dari rizab dan pendapatan Negeri yang diperolehi hasil kekayaan sumber asli bagi pembiayaan pakej insentif dan pelaksanaan inisiatif Khas tersebut. Di kala rakyat Sabah masih berjuang menyesuaikan diri dengan cabaran hidup pasca pendemik Covid-19, kekayaan sumber asli lebih ditagih untuk mendukung kelangsungan hidup rakyat Sabah, berbanding digunakan sepenuhnya untuk pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur, yang mana pelaksanaannya tertumpu dikawasan-kawasan tertentu yang kadang kala ditentukan mengikut kepentingan politik.
Comentarios