top of page
  • Wartawan Nabalu News

Perkhidmatan kesihatan ibu dan kanak-kanak di Klinik Kesihatan UTC bermula 1 Julai


1 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Perkhidmatan kesihatan ibu dan kanak-kanak akan dimulakan di Klinik Kesihatan UTC, Kota Kinabalu bermula pada 1 Julai 2023, menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Asits Sanna.


Beliau berkata, pembukaan perkhidmatan tersebut adalah rentetan daripada penutupan sementara Klinik Kesihatan Ibu Dan Anak Pekan, Kota Kinabalu (KKIA Pekan) yang sedang menjalani kerja-kerja pembaikan.


"Kerja-kerja pembaikan klinik dijangka siap pada hujung tahun ini. Berikutan itu, semua perkhidmatan kesihatan ibu dan kanak-kanak KKIA Pekan dipindahkan sementara ke Klinik Kesihatan UTC dan sebahagian kecil ke klinik kesihatan berdekatan," katanya dalam satu kenyataan media.


Tambah beliau, perkhidmatan yang disediakan di Klinik Kesihatan UTC merangkumi penjagaan kesihatan untuk ibu hamil, penjagaan ibu selepas bersalin, kesihatan wanita dan perancang keluarga, penjagaan kesihatan untuk kanak-kanak termasuk pemeriksaan kanak-kanak, imunisasi dan pemeriksaan jaundis.


"Jabatan Kesihatan Negeri menyeru pelanggan yang terlibat dengan perkhidmatan KKIA Pekan agar mematuhi temujanji di fasiliti yang ditetapkan untuk mengelakkan kesesakan dan dapat bersabar sehingga kerja-kerja pembaikan klinik selesai," ujarnya.


Beliau juga mengharapkan pembukaan perkhidmatan ibu dan kanak-kanak yang disediakan ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.


"Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kami kepada rakyat Sabah. Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kerjasama semua pihak," katanya.


Comments


bottom of page