Permohonan UPUOnline dibuka bermula hari ini
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_09425329e97f46b895e4cd3d74d8fb8b~mv2.jpg/v1/fill/w_863,h_719,al_c,q_85,enc_auto/d65831_09425329e97f46b895e4cd3d74d8fb8b~mv2.jpg)
10 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2025/2026 ke program Asasi, Sijil, Diploma & Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline akan dibuka bermula hari ini.
Permohonan atas talian fasa pertama ini dibuka sehingga 14 Mac, manakala fasa kedua akan dibuka pada 14 April hingga 18 Mei depan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, permohonan dibuka bagi kemasukan ke 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti dan dua institusi daripada MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_b52ce282adb74f7aa6517dadc2389f0a~mv2.jpg/v1/fill/w_863,h_1080,al_c,q_85,enc_auto/d65831_b52ce282adb74f7aa6517dadc2389f0a~mv2.jpg)
Katanya, permohonan fasa pertama terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf bagi semua program pengajian.
“Manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan atau ujian akan dibuka bagi permohonan Fasa Kedua.
“Sebanyak 350 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan SPM dan 1,131 program pengajian ditawarkan kepada Lepasan STPM/Setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan MARA BPT seluruh negara,”
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_7267a40c11be42509b789c64c74e3523~mv2.jpg/v1/fill/w_863,h_1080,al_c,q_85,enc_auto/d65831_7267a40c11be42509b789c64c74e3523~mv2.jpg)
“KPT menjemput semua calon yang berkelayakan untuk mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi,” katanya.
KPT turut memaklumkan, bagi tujuan permohonan, pembelian Nombor Pin UPUOnline boleh dibuat di Bank Simpanan Nasional (BSN) di 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN.
Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA di:
Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA
Jabatan Pendidikan Tinggi
Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5
62000 Putrajaya
Tel: 03-8684 2363
E-mel: upu@mohe.gov.my
Facebook: KEMASUKAN BPKP JPT
Instagram: @KEMASUKANBKPA
Comments