Persatuan Momogun Luba Sabah Kota Marudu komited martabatkan identiti dan warisan etnik Luba
18 Disember 2024
KOTA MARUDU: Dalam usaha memartabatkan etnik Dusun Luba sebagai satu warisan yang perlu dipertahankan, Persatuan Momogun Luba Sabah Kota Marudu mengadakan mesyuarat penaja pertama di DXM Bangunan Watson Kota Marudu, Isnin lalu.
Mesyuarat ini bertujuan untuk memilih Ahli Jawatankuasa (AJK) penaja dan memformalkan struktur persatuan yang ditubuhkan bagi memartabatkan etnik Luba di Sabah.
Persatuan ini bukan hanya bertujuan mengekalkan kebudayaan dan adat istiadat, tetapi juga memperkenalkan kraftangan etnik Luba dan mengekalkan bahasa ibunda mereka.
Mesyuarat ini merupakan langkah pertama ke arah memartabatkan identiti, budaya, dan bahasa etnik Dusun Luba di Sabah.
Ahli Persatuan Momogun Luba Sabah Kota Marudu berharap penubuhan AJK penaja.menjadi pemangkin untuk lebih banyak usaha memperkukuhkan warisan Momogun di negeri ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Suzie Salapan, Ketua Jawatankuasa Perhubungan (CLC) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.6 Bandau bagi Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Presiden penaja, Dahlan Kassim, bersama Timbalan Presiden, Tahar Untalis, dan Setiausaha, Sonny Palasin, mengetuai barisan kepimpinan yang turut disertai oleh Melvin Madzim, Benji Iamun, Gompuhur Dengkiris, dan Robert Angkat.
Dalam ucapan perasmiannya, Suzie menegaskan betapa pentingnya usaha memartabatkan etnik Luba sebagai satu warisan yang perlu dipertahankan.
Suzie turut mencadangkan agar pendidikan dan ekonomi dijadikan dua teras utama dalam misi dan visi persatuan.
Menurut beliau, pembangunan dalam dua aspek ini adalah penting untuk memastikan anak-anak dari suku kaum Dusun Luba dapat bersaing setaraf dengan masyarakat lain.
“Pendidikan dan ekonomi adalah kunci utama. Dengan dua elemen ini, generasi muda Dusun Luba mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan komuniti lain di Sabah dan Malaysia amnya,” kata Suzie.
Suzie juga memuji usaha penganjur dan mereka yang terlibat, terutama kerana meskipun berlainan ideologi politik, semua pihak mampu bersatu di bawah satu bumbung demi tujuan yang sama.
Beliau berharap persatuan ini dapat menjadi platform untuk meningkatkan perpaduan antara etnik serta memberikan impak positif kepada masyarakat Sabah secara keseluruhan.
“Semoga segala urusan persatuan ini dipermudahkan dan dapat membawa manfaat besar, bukan sahaja kepada etnik Dusun Luba tetapi juga kepada masyarakat luas,” tambah Suzie.
Comments