top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Persediaan Tahun Baharu Cina secara sederhana, elak pembaziran



31 Januari 2022

Oleh Marryan Razan


Ekoran Covid-19, kenaikan harga barangan dan keadaan ekonomi yang belum stabil menyebabkan masyarakat negeri ini yang menyambut Tahun Baharu Cina (CNY) membuat persediaan secara sederhana.


Kebanyakan mereka yang ditemui Nabalu News menyatakan, persediaan secara ala kadar bagi mengelak pembaziran dan hanya mengadakan jamuan bersama ahli keluarga terdekat dan belum bersedia menerima tetamu kerana masih bimbang penularan Covid-19.


Bagaimanapun mereka gembira kerana tahun ini kerajaan membenarkan jamuan makan besar bersama ahli keluarga terdekat pada malam 31 Januari dan juga tiada sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP).


Bagi keluarga Anne Teck Pian dan Alexander Jones Punggin, mereka gembira kerana tahun ini tiada lagi sekatan perjalanan dari Sandakan ke Kota Kinabalu semasa sambutan CNY bersama keluarga.


Anne bersama suami dan anaknya.

“Tahun lalu, kami tidak dapat balik semasa Tahun Baharu Cina kerana perintah kawalan pergerakan,” katanya dan menambah persediaan sambutan tahun baharu di rumah ibu bapanya secara sederhana.


Apa yang penting katanya, dapat berkumpul dan makan bersama semua ahli keluarga terdekat.


“Saya berharap semua yang menyambut Tahun Baharu Cina mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan atau kluster baharu,” katanya.


Sementara itu bagi keluarga Rose Ladzim dan Adrian Chin dari Kota Kinabalu persediaan sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini secara ala kadar.


Rose Ladzim

“Kami sambut CNY bersama ahli keluarga terdekat sahaja. Persediaan pun ala kadar, sebab ekonomi tidak stabil,” katanya.


Mengenai persediaan membeli baju dan perhiasan rumah, Rose berkata: “Pakai saja apa yang ada, tidak perlu membeli baju baru, begitu juga dengan perhiasan, saya guna semula perhiasaan tahun-tahun lalu yang masih elok”.

Beliau berkata, kenaikan harga barang termasuk limau mandarin juga amat membebankan.


“Dulu satu kotak limau mandarin sekitar RM40 sekarang RM80,” katanya.

Doris Chin Su Hing

Kebiasaannya orang ramai sibuk membeli barangan sebagai persediaan Tahun Baharu Cina, namun bagi Doris Chin Su Hing dari Kota Kinabalu sambutan tahun ini sedikit berbeza.


“Tiada persediaan sambut CNY seperti tahun-tahun sebelum Covid-19, sebab ekonomi tidak bagus, semua naik harga (barangan).


“Semua makanan dan minuman serta keperluan asas yang lain pun naik kecuali gaji tidak naik,” katanya.


Rakannya Tracy Lai Kui Yun bersetuju dengan Doris, beliau berkata, ekoran kenaikan pelbagai jenis barangan ramai keluarga sedaya upaya mengelak pembaziran semasa musim perayaan.


“Sambutan CNY tahun ini tidak seperti tahun-tahun sebelum Covid melanda dunia. Disebabkan kenaikan harga pelbagai barangan termasuk limau mandarin, biskut dan lain-lain makanan, maka ramai keluarga sedaya upaya mengelak perbelanjaan berlebihan terutamanya pembelian hiasan rumah.


Tracy Lai Kui Yun

“Saya sambut CNY secara sederhana bersama keluarga,” katanya.


Katanya lagi, majikan seharusnya mempertimbangkan untuk menaikkan gaji pekerja berikutan kenaikan harga barangan dan keperluan lain.


Bagi Mandy Chin Zing Ying pula, dia membuat persediaan secara sederhana bagi mengelak pembaziran.


Beliau juga membeli barangan secara dalam talian bagi mengelak kesesakan di kompleks membeli belah.


“Kadang-kadang beli secara online lagi murah tetapi bergantung kepada apa yang kita mahu beli, perlu buat perbandingan harga sebelum membeli dan pastikan kedai online itu boleh dipercayai,” katanya.


Mandy Chin Zing Ying

Pada tahun ini, masyarakat yang menyambut Tahun Baharu Cina dibenarkan melakukan aktiviti ziarah dan acara makan bersama keluarga, berbanding SOP tahun lalu yang lebih ketat.


Ahli keluarga dan saudara mara dibenarkan bagi acara makan bersama keluarga pada 31 Januari berbanding tahun lalu, di mana hanya 15 ahli keluarga yang tinggal dalam jarak 10 kilometer radius dibenarkan.


Bagaimanapun, penganjuran rumah terbuka adalah tidak dibenarkan tetapi resepsi Tahun Baru Cina dibenarkan membabitkan individu yang mendapat jemputan sahaja dengan 50 peratus kapasiti ruang.


Hanya individu yang lengkap divaksin dan terima jemputan sahaja yang boleh hadir ke resepsi tersebut.


Comments


bottom of page