top of page

Persiapan Majlis Sambutan Tahun Baru dan Rumah Terbuka Hari Natal Pakatan Harapan (PH) Sabah berjalan lancar

nabalunews


Petugas sukarelawan sedang melakukan persiapan akhir di Dewan Pasisimpungan SIB, di sini.

24 Januari 2025


By EVY


KENINGAU: Persiapan rapi Majlis Sambutan Tahun Baharu dan Rumah Terbuka Hari Natal Pakatan Harapan (PH) Sabah, yang diadakan di Dewan Pasisimpungan SIB, di sini, berjalan lancar dan sudah tahap siap lebih 95 peratus.


Majlis yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini dijangka meriah dengan kehadiran orang ramai, pemimpin tempatan serta pimpinan tertinggi parti komponen PH Sabah.


Perasmian majlis akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, selaku Timbalan Pengerusi PH Malaysia.

Ketua Jawatankuasa Persiapan Dewan, Ahuar Rasam berkata, persiapan dewan berjalan lancar dengan bantuan daripada petugas sukarelawan tempatan.


Katanya, mereka tampil membantu bersama petugas penganjur berganding bahu menghias dewan bersesuaian dengan tema perayaan kali ini.


“Pelbagai aktiviti menarik telah disusun atur untuk memeriahkan sambutan ini, antaranya, jamuan, persembahan ‘Somporing’ dan acara cabutan tiket bertuah.


"Kami mahu memastikan semua pengunjung berasa dihargai dan meraikan majlis dalam suasana yang penuh kegembiraan serta harmoni," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.


Menurutnya, selaku jawatankuasa penganjur, beliau berharap majlis ini dapat menjadi platform memperkukuh hubungan rakyat yang datang dari pelbagai latar belakang dengan pimpinan PH Sabah.


“Ia selaras dengan visi Pakatan Harapan untuk terus memperjuangkan perpaduan dan keharmonian masyarakat,” katanya.


Sementara itu, majlis berkenaan dijangka akan dihadiri ribuan hadirin melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dari daerah Keningau dan kawasan sekitar.


Majlis berkenaan juga dijangka mampu mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta meraikan semangat perpaduan pelbagai kaum serta agama di Sabah.

Comentários


bottom of page