top of page
nabalunews

Persiapan menghadapi Monsun Timur Laut giat dilakukan

16 Disember 2024


PUTATAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Putatan sudah melakukan persiapan menghadapi bencana banjir di musim tengkujuh Monsun Timur Laut yang sedang berlaku ketika ini.


Antara program yang dijalankan, sesi pertemuan JPBD dengan masyarakat di Putatan.


Pada Sabtu, Pegawai Daerah Putatan yang juga Pengerusi JPBD daerah Putatan, Masawi Salleh telah menjelaskan peranan agensi-agensi yang menganggotai JPBD Putatan dalam satu program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Teluk Villa, Putatan bersama JPBD dan agensi-agensi yang bertanggung jawab.


Ia membabitkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Am , Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Putatan.


Dalam ucapannya di program berkenaan,

Masawi menjelaskan bahawa program ini adalah langkah bersiap-siaga untuk menghadapi bencana alam bersama penduduk setempat khususnya yang tinggal di kawasan berisiko tinggi seperti penempatan berhampiran laut dan sungai apabila berlaku hujan lebat dan air pasang besar.


Jabatan Meteorologi Negeri Sabah turut memainkan peranan penting sebagai agensi yang menyalurkan maklumat mengenai keadaan cuaca yang berkaitan dengan fenomena hujan dan ribut petir, keadaan laut bergelora dan juga kesan fenomena cuaca in.


Perkara ini telah dijelaskan oleh Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Amir Zudi Hashim ketika perjumpaan dalam program berkenaan.


Amir Zudi turut menasihati orang awam khususnya yang tinggal di kawasan berisiko agar tidak menghampiri kawasan pantai bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.


Katanya, pihak meteorologi juga akan terus memantau keadaan cuaca dan membuat kenyataan makluman dari semasa ke semasa.


Program itu dihadiri oleh pemimpin-pemimpin masyarakat, Pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kawasan N24 Tanjung Keramat, Pengerusi-Pengerusi dan Ahli-Ahli KRT Taman Teluk Villa, KRT Taman Union dan KRT Kampung Petagas.


Turut memberi ceramah, Pegawai Kebajikan Am, Nuslindah KK Imbran yang menekankan aspek penempatan di Pusat Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan juga aspek bantuan makanan dan keperluan asas yang lain.


Manakala pihak ATM telah memberi tunjuk ajar mengenai langkah pertama dalam usaha menyelamatkan individu atau mangsa yang berada di tahap kritikal.

Opmerkingen


bottom of page