Pertandingan Masakan Tradisi 16 PDM Kadamaian berlangsung meriah
28 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Pertandingan Masakan Tradisi anjuran Pergerakan Wanita UPKO Kota Belud disertai 16 PDM Kadamaian berlangsung meriah.
Pertandingan itu disertai 48 peserta dari 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kadamaian diadakan di Mini Dewan Pejabat ADUN Kadamaian Skyblue Piasau, Jumaat lalu, bertujuan mempromosikan makanan tradisi masyarakat Kadazandusun sebagai salah satu identiti budaya.
Setiausaha Wanita UPKO Bahagian Kota Belud, Julitah Kandar berkata, acara yang julung kalinya diadakan itu mempertandingkan enam jenis masakan tradisi Dusun Tindal yang jarang ditemui iaitu iaitu tutod, sup polod, bintanok, pinapahan, linupit dan tuntul.
“Kami berhasrat untuk memasukkan acara ini dalam kalendar Wanita Bahagian Kota Belud sebagai acara tahunan Pergerakan Wanita UPKO Kota Belud.
“Tujuan pertandingan adalah untuk menghidupkan semula masakan tradisi yang jarang ditemui masa kini dan memperkenalkannya kepada generasi muda,” katanya.
Pertandingan itu dirasmikan oleh Ketua Wanita UPKO Kota Belud Datin Saniah Tuak, mewakili Adun Kadamaian merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
PDM Kebayau dinobatkan juara pertandingan, naib juara pula dimenangi oleh PDM Sayap dan tempat ketiga dimenangi oleh PDM Melangkap.
Julitah berkata, semua peserta telah menunjukkan usaha dan komitmen tinggi dalam menyediakan makanan tradisi mereka.
Beliau menyeru semua pihak terus memelihara dan mempromosikan makanan tradisi sebagai salah satu identiti budaya masyarakat Kadazandusun.
Comments