top of page
nabalunews

Pertandingan Memancing dan Karaoke Jadi Perhatian Pengunjung Tamu Sosondoton View

14 Oktober 2024


KOTA BELUD: Program Jiwa Komuniti MADANI peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Kota Belud, berlangsung dengan penuh meriah di Tamu Sosondoton View, Kampung Piasau, Kota Belud, pada 12 Oktober lalu.


Program ini bermula seawal jam 7.00 pagi dan berjaya menarik perhatian ramai penduduk tempatan serta pengunjung dari kawasan sekitar.


Acara ini dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Daerah Kota Belud dengan kerjasama Komuniti Kampung Piasau, Kampung Nahaba, dan Kampung Melangkap Baru.


Program dimulakan dengan pendaftaran peserta untuk pertandingan memancing di Sungai Kadamaian yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi.


Pada masa yang sama, pertandingan karaoke irama Malaysia pula bermula pada jam 9.00 pagi, memeriahkan lagi suasana di lokasi tamu.


Pertandingan karaoke menyaksikan Chantia Tandek dari Kampung Nahaba muncul sebagai juara, manakala Rostinah Kohid meraih tempat kedua. Tempat ketiga pula disandang oleh Fauzie Jerneh.


Sementara itu, pertandingan memancing menyaksikan kemenangan berpihak kepada Ainee Rosman dari Kampung Piasau, yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan.


Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, bersama Pegawai Penerangan Malaysia (JAPEN) Daerah Kota Belud, Rosnaniwari Rasidi, telah menyampaikan hadiah dalam bentuk hamper kepada para pemenang pertandingan.


Laimin Omar, Pengerusi Penyelaras Tamu Sosondoton View Piasau, menegaskan bahawa tiada bayaran yuran dikenakan kepada peserta bagi semua pertandingan.


Menurut beliau, tujuan utama penganjuran acara ini adalah untuk mempereratkan hubungan kekitaan dan semangat kerjasama antara komuniti Kampung Piasau dan kampung-kampung berdekatan, selain mengeratkan interaksi antara agensi kerajaan, peniaga, dan pengunjung yang hadir.


Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk berhibur, tetapi juga mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk setempat, seiring dengan matlamat Jiwa Komuniti MADANI.

Comentarios


bottom of page