top of page
nabalunews

Peruntukan Belanjawan 10 Kementerian Lulus Di Peringkat Jawatankuasa




30 November 2024


KUALA LUMPUR : Peruntukan bagi 10 kementerian lagi diluluskan di peringkat jawatankuasa pada minggu ketujuh persidangan Dewan Rakyat, setelah Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 bagi setiap kementerian itu selesai dibahas dan digulung serta melalui pengundian secara suara majoriti.


Kementerian terlibat adalah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; Kementerian Kesihatan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Komunikasi; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Digital.


Peruntukan belanjawan bagi empat kementerian lagi dijadual dibahas untuk kelulusan di peringkat jawatankuasa pada minggu depan iaitu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementeri Pertahanan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, lapor Bernama.


Dalam pada itu, perhatian turut tertumpu kepada kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri selepas kembali daripada lawatan rasmi ke Korea Selatan.


Antara isu yang disentuh Perdana Menteri melibatkan Monsun Timur Laut (MTL) serta pendirian Malaysia dalam menyuarakan keadilan buat rakyat Palestin.


Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak dan agensi terlibat dalam membuat persiapan menghadapi MTL, yang disifatkannya lebih baik tahun ini.


Beliau berkata bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah diarahkan untuk memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera, termasuk agensi Persekutuan dan negeri, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir terpelihara.


Sementara itu, Perdana Menteri berkata walaupun pertimbangan ekonomi amat penting namun ia tidak akan mengurangkan atau mengekang pendirian Malaysia dalam menyuarakan tuntutan dan keadilan buat rakyat Palestin, khususnya di Gaza.


Menurut beliau, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat akan terus menyuarakan pendirian dalam isu-isu antarabangsa termasuk penindasan dan kezaliman di Gaza.


Mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember ini.

Comments


bottom of page