top of page
nabalunews

Peruntukan Kepada Semua Negeri Sentiasa Dipertingkatkan - PM Anwar

23 November 2024


KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat di semua negeri, termasuk negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang dan telah mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan peruntukan kepada negeri-negeri berkenaan kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Katanya langkah ini bertujuan memastikan keperluan rakyat, khususnya dalam aspek kemudahan awam, kesihatan asas, dan usaha pembasmian kemiskinan, dapat ditangani secara holistik dan berkesan.


"Soal kemiskinan, kemudahan awam, kesihatan, kemudahan asas, kerosakan-kerosakan, umpamanya macam di Terengganu, bila soal keruntuhan tebing Tasik Kenyir itu kita segerakan, tidak ada pertimbangan lain.


"Kalau ada keperluan, RM200 juta lebih kita luluskan dalam tempoh yang segera. Bagi saya ini penting," katanya seperti dilaporkan Bernama di Sesi Townhall Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kepimpinan kerajaan negeri perlu sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung pelbagai isu tempatan dihadapi mereka.


"Kalau kerajaan negeri memberi sikap yang positif (bekerjasama), ia memudahkan, (tetapi) kalau negeri memberi sikap yang bengis ia mempersulitkan," katanya.


Beliau berkata Kerajaan Persekutuan mengambil sikap terbuka dengan sentiasa mengadakan perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam melaksanakan pelbagai dasar berkepentingan rakyat.


"Kita pergi kepada negeri-negeri, kita bagi pandangan dari (sudut) Persekutuan dan kita minta pandangan balas dari negeri dan (kemudian) kita ubah suai dasar ikut keperluan negeri. Jadi saya tidak fikir ini banyak masalah," katanya.


Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 berlangsung dua hari bermula hari ini, antara lain melibatkan beberapa sesi wacana daripada wakil kerajaan dan swasta serta ahli akademik meliputi topik seperti merakyatkan perkhidmatan awam dan reformasi tatakelola dalam perkhidmatan awam.


Penganjuran program 2TM di reruai semua kementerian terus berjalan serentak termasuk kaunter bayaran saman dengan diskaun hingga 60 peratus oleh Polis Diraja Malaysia, penukaran topi keledar baharu bagi menggantikan yang lama atau rosak serta penukaran al-Quran rosak, lama atau tiada perakuan Kementerian Dalam Negeri.


Turut berlangsung Jualan MADANI, karnival kerjaya serta karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pemeriksaan kesihatan, kaunter perkhidmatan veteran Angkatan Tentera Malaysia, aktiviti e-sukan, penerangan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta 'pocket talk' dan 'kuiz kahoot'.

Comments


bottom of page