Peruntukan khas RM560 juta untuk penganjuran pelbagai acara berkaitan ASEAN 2025
15 November 2025
KUALA LUMPUR: Peruntukan khas RM560 juta untuk Kementerian Luar bagi penganjuran pelbagai acara berkaitan ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN 2025, akan meliputi perbelanjaan kemudahan persidangan, penginapan tetamu negara dan delegasi, media dan publisiti, pengangkutan dan lain-lain perkhidmatan.
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata lokasi mesyuarat ASEAN yang diadakan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak akan membantu menjana pendapatan domestik bagi pelbagai sektor tempatan seperti perkhidmatan, perhotelan, pelancongan, jualan seni dan kraf selain mempromosi budaya Malaysia.
Katanya Kementerian Belia dan Sukan dan agensi berkaitan juga terlibat dalam melaksanakan beberapa program bersesuaian untuk golongan muda supaya mereka dapat turut serta menjayakan Kepengerusian ASEAN tahun depan.
Beliau berkata Kementerian Luar beriltizam menjadikan ASEAN sebagai platform kukuh demi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan membawa manfaat jangka panjang kepada Malaysia dan semua negara anggota blok serantau itu, lapor Bernama.
Mohamad berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini.
Commentaires