top of page
Wartawan Nabalu News

Peruntukan pembangunan harus berdasarkan nisbah 50-50 antara Semenanjung dan Borneo – Jeffrey


10 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan meminta agar Kerajaan baharu Malaysia memastikan Sabah dan Sarawak tidak terus terpinggir dalam agihan bajet Persekutuan.


Katanya, kedua-dua negeri itu akan terus tertinggal dari arus perdana pembangunan jika kerajaan terus mengguna pakai agihan bajet negara mengikut cara lama.


Beliau berkata, cadangan pembayaran RM260 juta kepada Sabah dan RM300 juta kepada Sarawak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memenuhi nisbah 40 peratus yang termaktub dalam perlembagaan.


"Sabah dan Sarawak memerlukan pembangunan seperti yang dijanjikan kepada bapa-bapa kemerdekaan, bukan beri alasan Kerajaan Pusat tidak ada duit.


“Duit itu adalah duit dari Sabah dan bukan dari negeri-negeri lain atau persekutuan dan Persekutuan menerima 60 peratus, selebihnya harus dipulangkan kepada Sabah," katanya ketika membahas Belanjawan Madani 2023 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur.


Jeffrey turut mencadangkan agar peruntukan pembangunan 2023 dan seterusnya dimasukkan terus ke dua akaun Amanah Pembangunan iaitu untuk Sabah dan untuk Sarawak.


"Dengan cara itu, peruntukan dapat dibelanjakan mengikut acuan Sabah dan Sarawak yang akan dikawal selia oleh jawatankuasa bersama Kementerian Persekutuan, Sabah dan Sarawak," katanya.


Tambahnya, disebabkan birokrasi, Sabah tidak menerima sepenuhnya dana yang diperuntukkan dalam bajet tahunan, akibatnya baki dibawa ke tahun hadapan secara 'rollover'.


Akibat 'rollover' itu, setiap tahun RM4-5 bilion yang diperuntukkan bagi pembangunan Sabah hanya dibelanjakan dalam tempoh empat atau lima tahun.


"Sekiranya RM4-5 bilion peruntukan itu dibelanjakan setiap tahun maka jumlah nikmat pembangunan di Sabah boleh mencecah RM20-25 bilion," katanya.


Jeffrey menyatakan bahawa peruntukan pembangunan yang lebih adil adalah berdasarkan nisbah 50 peratus untuk Semenanjung dan 50 peratus untuk Borneo mengikut entiti rakan kongsi sama taraf dalam Persekutuan Malaysia.

Comentarios


bottom of page