top of page

PERUTUSAN HARI WANITA ANTARABANGSA, KETUA WANITA HARAPAN

nabalunews

8 Mac 2025


"Kesaksamaan dan keterangkuman tidak boleh menunggu, semua peringkat kepimpinan dan sektor masyarakat mesti bekerjasama untuk mempercepatkan langkah kemajuan bagi hak dan pemerkasaan wanita".


Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI dan selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025 kepada semua wanita di seluruh dunia! Tahun ini merupakan tahun ke 116 dunia meraikan Hari Wanita Antarabangsa.


Sejarah Hari Wanita Antarabangsa bermula pada awal abad ke-20 di seluruh Amerika Utara dan Eropah. Tujuannya adalah bagi mengiktiraf perjuangan wanita untuk hak memilih, keadilan pekerjaan dan hak asasi manusia. Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Hari Wanita Sedunia pertama kali diraikan di Amerika Syarikat pada 28 Februari 1909.


Pada tahun 1945 pula, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi perjanjian antarabangsa pertama yang mengesahkan prinsip kesaksamaan antara wanita dan lelaki.


Seterusnya pada 8 Mac 1975, PBB meraikan Hari Wanita Sedunia secara rasmi buat kali pertama. Ia menjadi semakin penting dan diiktiraf secara meluas pada tahun 1977 apabila Perhimpunan Agung PBB mengisytiharkan 8 Mac sebagai Hari Wanita Antarabangsa.


116 tahun adalah satu tempoh yang lama untuk kebersamaan dunia bagi memastikan kesaksamaan dan keterangkuman dalam apa jua dasar dan program bermasyarakat dan bernegara. Namun, jika dilihat pencapaiannya daripada pelbagai sudut, kesedaran umum termasuk peringkat tertinggi kepimpinan masih relatif rendah. Ruang, peluang dan akses untuk wanita dan gadis berpartisipasi dalam pelbagai bidang masih dipenuhi dengan pelbagai hambatan dan kekangan yang bukan sahaja bersifat budaya, stereotaip gender malah bersifat sistemik yang memerlukan bukan sahaja usaha keras, tetapi taktikal pantas. Tentunya juga dengan dukungan "political will" yang jujur daripada kepimpinan paling atas, pada masa yang sama digerakkan oleh wanita-wanita pemberani yang tidak pernah kenal lelah dan putus asa.


Ketertinggalan penglibatan wanita ini khususnya ditinjau daripada empat sudut utama iaitu penglibatan dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik. Daripada empat bidang ini, ternyata jurang penglibatan dalam bidang kepimpinan dan politik adalah terlalu jauh, hatta semakin membesar khususnya selepas pandemik covid-19 melanda dunia. Kita memerlukan lebih 130 tahun untuk mencapai kesetaraan ruang, peluang dan akses kepada wanita-wanita kita.


Justeru itulah, tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diangkat di peringkat antarabangsa pada tahun 2025 ini adalah "Accelerate Action", yakni "Mempercepatkan Tindakan". Tema ini perlu difahami, dihadami dan diinsafi oleh kita semua khususnya pemimpin-pemimpin organisasi politik bahawa ada amanah dan tanggungjawab besar yang perlu kita langsaikan secara berani, tanpa tangguh dan tanpa kompromi. Kesaksamaan dan keterangkuman tidak boleh menunggu, semua peringkat kepimpinan dan semua sektor masyarakat mesti bekerjasama untuk mempercepatkan langkah kemajuan bagi hak dan pemerkasaan wanita.


Pada hari yang istimewa ini, marilah kita bersama-sama menghargai dan meraikan sumbangan, kekuatan, serta ketabahan wanita dalam semua aspek kehidupan. Wanita adalah nadi kepada keluarga, komuniti, masyarakat, negara dan dunia. Wanita memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan seimbang.


"Wanita Beraspirasi, Membina Legasi" yang menjadi tema peringkat negara pada tahun ini pula seiring mengingatkan kita betapa pentingnya memberikan sokongan, peluang, dan hak yang sama kepada setiap wanita untuk mencapai potensi sepenuhnya. Setiap langkah yang kita ambil pada setiap hari akan membawa impak besar kepada generasi dan dunia akan datang.


Marilah kita terus memperjuangkan tindakan keterangkuman gender, menghapuskan diskriminasi, dan memastikan setiap wanita dapat hidup secara bermaruah. Terima kasih kepada semua wanita yang telah menjadi inspirasi, pemimpin, dan agen perubahan dalam kehidupan kita dan dunia.


Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025!


DATUK AIMAN ATHIRAH SABU

Ketua Wanita Pakatan Harapan

Ketua Wanita Parti Amanah Negara

Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan/ Ahli Parlimen Sepang

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page