top of page
  • nabalunews

Peserta Felo SMJ dapat kerja selepas latihan – Ketua Menteri


19 September 2024


KOTA KINABALU: Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) telah membuahkan hasil apabila ramai pesertanya berjaya memperoleh pekerjaan setelah menamatkan latihan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan negeri sejak pelancarannya dua tahun lalu.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata program ini memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan pengalaman kerja secara langsung melalui penempatan di kementerian dan agensi-agensi kerajaan negeri.


Peserta bukan sahaja diberi pendedahan mendalam tentang alam pekerjaan dalam sektor awam, malah mereka juga dibimbing untuk membuat keputusan yang lebih baik mengenai pilihan kerjaya tetap, sama ada untuk meneruskan dalam sektor awam ataupun memilih kerjaya di sektor swasta.


Menurut Hajiji, program ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri untuk memperkasa belia Sabah dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka di pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif.


Katanya kerajaan negeri komited untuk terus menyediakan peluang pembangunan bakat tempatan demi mencapai matlamat Sabah Maju Jaya.


Melalui Program Felo SMJ, para peserta bukan sahaja dapat mengasah kemahiran teknikal, tetapi juga memupuk nilai integriti, tanggungjawab, dan etika kerja yang tinggi, yang mana semua ini penting untuk memastikan pembangunan modal insan yang berdaya saing di Sabah.


“Hari ini kita menyampaikan watikah kepada graduan yang mendapat keputusan cemerlang dari universiti untuk menyertai apa yang kita panggil Felo SMJ.


“Tujuannya ialah untuk kita memilih anak-anak kita yang cemerlang dalam pendidikan, kita latih jadi pemimpin akan datang dengan dedahkan mereka di kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan.


“Daripada semua Felo SMJ 1.0 dan 2.0, semua sudah dapat kerja yang baik-baik. Jadi, kita berpuas hati terhadap pencapaian program ini,” katanya ditemui selepas menyampaikan watikan pelantikan Felo SMJ 3.0 di Menara Kinabalu, di sini, semalam.


Hadir sama Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin; Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Fairuz Renddan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.


Program itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan kerjasama MBS dan Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS).


Pada majlis itu, Ketua Menteri turut melancarkan Pertubuhan Alumni Felo SMJ (PAFSMJ) yang ditubuhkan melalui kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah, IKEBS dan bekas peserta Felo SMJ.


Felo SMJ 1.0 dan 2.0 sebelum ini masing-masing memberi latihan kepada seramai 24 dan 25 peserta, manakala Felo SMJ 3.0 pada tahun ini disertai seramai 30 orang.


Bagi program pada kali ini, fokus tertumpu kepada kelompok belia graduan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) sebagai usaha menyediakan pemimpin masa depan dan ‘talent pool’ kepada kepimpinan Sabah pada masa depan.


Peserta ditempatkan di 10 kementerian negeri selain 17 badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.


Daripada 30 orang peserta Felo SMJ 3.0 yang dipilih tahun ini, seramai 14 orang adalah lelaki, manakala 16 orang adalah perempuan.

Comentários


bottom of page