Pesta Kalimaran pamerkan budaya serta kesenian kaum Murut: Rubin
- nabalunews
- Sep 17, 2024
- 2 min read

17 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TENOM: Sambutan Pesta Kalimaran adalah pesta turun-temurun kesenian suku kaum Murut yang bertujuan untuk mempamer dan menghidupkan budaya serta kesenian Murut supaya ia terus kekal dan dipertahankan khususnya dalam kalangan generasi muda.
Penasihat Ilau Kalimaran kali ke 18, 2024 Datuk Rubin Balang berkata, perayaan Pesta Kalimaran adalah perayaan yang dijenamakan semula daripada nama asal tamu besar Injawari atau Panawari yang diraikan oleh nenek moyang sebelum merdeka dan juga selepas merdeka.
Katanya, ia mula dijenamakan semula dan dinamakan sebagai Pesta Kalimaran (Ilau Kalimaran) bermula tahun 2003 dan kini ia disambut pada setiap tahun.
"Ia bertujuan memelihara dan memperkembangkan adat resam dan kebudayaan yang diwarisi daripada nenek moyang supaya ianya kekal segar kepada generasi sekarang dan generasi yang akan datang dengan mempamerkan corak, motif dan unsur-unsur seperti tarian-tarian, lagu-lagu tradisional seperti pusaloh, lolondoi selain pameran kraftangan seperti buyuung mawatik dan sebagainya" katanya semasa berucap sempena Pesta Kalimaran Kali Ke 18 peringkat negeri Sabah di Dataran Pekan Kemabong, Sabtu lalu.
Rubin yang juga Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS) merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong berkata, tema Pesta Kalimaran tahun ini adalah “Ahahanggoi Am Sumingkot” yang bermaksud Bersama Maju yang berpaksikan kepada pembangunan sosioekonomi, pendidikan dan kebudayaan.
Menurut Rubin, Pesta Kalimaran juga terbuka diraikan oleh mana-mana pihak dan mana-mana suku kaum namun ia haruslah mengekalkan tradisi penganjuran perayaan Pesta Kalimaran ini supaya tidak berlaku percanggahan dan juga mencabuli adat resam dan kebudayaan nenek moyang.
"Dalam konteks sosioekonomi kita juga akan mencontohi mana-mana bangsa di dunia yang berjaya membangunkan sosioekonomi mereka walaupun hanya dalam bidang penyediaan makanan atau pun restoran franchais contohnya KFC, Starbucks, Mc Donald, Pizza Hut, Burger King dan lain-lain.
"Begitu juga dalam soal pendidikan kita telah memberikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
"Sumbangan ini bertujuan untuk memberikan satu suntikan semangat, motivasi dan dapat meringankan
beban ibubapa yang kurang berkemampuan agar anak-anak mereka
mampu menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara" jelasnya.
Manakala katanya, dari segi kebudayaan, di samping memelihara adat resam tradisi PMS Pesta Kalimaran juga berhasrat untuk membantu pihak kerajaan menyediakan produk-produk pelancongan untuk menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara melalui pameran kraftangan, tarian dan acara-acara tradisi kebudayaan.
Pada masa sama Rubin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah kerana telah mengangkat dan mengiktiraf Pesta Kalimaran sebagai perayaan peringkat negeri buat pertama kalinya pada tahun 2003.
"Sejak dari itu, perayaan sambutan
Pesta Kalimaran telah menjadi acara tahunan di negeri Sabah yang diraikan oleh pelbagai suku kaum, bangsa dan agama" kata Rubin.
Hadir sama ADUN Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, Pengurus Besar Kumpulan Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) Haizar Razif Hisyam Ajaz Nabijan, Ketua-Ketua Jabatan dan Pemimpin-Pemimpin Masyarakat.
Comments