Peter Anthony kekal dipenjara tiga tahun, rayuan akhir ditolak

4 Mac 2025
PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, gagal dalam rayuan akhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) 11 tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan, dan Datuk Azmi Ariffin, dalam keputusan hari ini, menolak rayuan Peter, 54, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Menurut laporan Bernama, mahkamah turut memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu menjalani hukuman penjara berkuat kuasa serta-merta.
Peter sebelum ini telah mengemukakan rayuan pada 19 April 2023 bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022.
Namun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 turut mengekalkan keputusan itu, menyebabkan Peter membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan sebagai usaha terakhir.
Comments