top of page
nabalunews

PETRONAS RAIH PENCAPAIAN KHAS ANUGERAH SAG 2020


23 OKTOBER 2020


KUALA LUMPUR: Esri Malaysia mengumumkan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) sebagai pemenang Anugerah Pencapaian Khas ESRI dalam Sistem Maklumat Geografi (SAG) 2020.

Esri Malaysia merupakan pihak berkuasa utama negara dalam teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan lebih khusus sebagai platform ArcGIS terkemuka di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia Sdn Bhd CS Tan berkata anugerah ini mengiktiraf keberhasilan pengaplikasian GIS dalam projek Pengurusan Aset Paip Petronas yang telah membolehkan pihak Petronas untuk menggambarkan lebih daripada 20 lapisan data spatial dan bukan spatial.

"Teknologi geospatial telah memanfaatkan Petronas dengan membolehkan aliran kerja yang lancar. Secara tidak langsung, ini telah mendorong peningkatan produktiviti secara ketara, di samping meningkatkan kerjasama dan mempercepatkan proses membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tan berkata GIS telah digunakan secara meluas oleh syarikat-syarikat di bawah kumpulan Petronas sejak tahun 2006 dalam bidang eksplorasi, pembangunan, pengeluaran dan operasi; kejuruteraan dan kemudahan, termasuk bidang penyelenggaraan dan pemantauan melalui pemetaan GIS atau alat visualisasi.

"Dengan mengintegrasikan teknologi GIS ke dalam operasi yang sedia ada pelbagai industri, organisasi boleh mengumpulkan semua data dari pelbagai sumber dan menyalurkannya ke platform yang bersepadu untuk menghasilkan alternatif dalam pelbagai senario sebelum membuat sesuatu,” kata beliau.


Sejak 1985, Esri Malaysia telah membantu pelbagai agensi kerajaan dan syarikat untuk menterjemahkan data mereka ke dalam bentuk peta untuk membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan pengiraan alternatif hasil analisis daripada ArcGIS.

Tan berkata peta yang dihasilkan di platform ini dapat dilihat, diakses dan dikongsi melalui laporan papan pemuka yang sentiasa dikemaskini untuk memastikan data analisis mengikut waktu sebenar.

"Kami juga berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih banyak organisasi yang mengumpulkan maklumat berdasarkan lokasi dan mulakan perjalanan ke arah komuniti pintar yang terdiri daripada individu dan perniagaan yang berkembang maju seiring penggunaan teknologi canggih,” jelas beliau. - Bernama

Comments


bottom of page