top of page

PGA rampas rokok tidak bercukai bernilai RM2 juta 

nabalunews


23 Mac 2025


SANDAKAN: Polis menahan seorang lelaki dan merampas ratusan karton rokok tidak bercukai kastam yang dianggarkan bernilai RM2 juta, semalam.


Lelaki berusia 40 tahun itu berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Airport, Batu 7, di sini, kira-kira jam 12.50 tengah hari.


Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari ibu pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman.



Katanya, operasi yang dijalankan dengan kerjasama PGA Batalion 15 Sandakan turut berjaya merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda.


“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda yang tidak melebihi RM500 ribu atau dipenjarakan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,”katanya.


Sementara itu, Ahsmon berkata, sebanyak 20 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan trafik (BSPT) IPD Sandakan.


Selain itu, katanya, operasi yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menahan 17 motosikal untuk ujian bunyi bising.


“Hasil ujian, sebanyak 14 notis dikeluarkan terhadap motosikal atas kesalahan bunyi bising.


“Notis arahan dikeluarkan mengikut Seksyen 48, Akta Kualiti Alam  Sekeliling (AKAS) 1974 (bunyi bising kenderaan motor) 1987 dan sembilan disyor kompaun mengikut Peraturan 4(2), AKAS 1974 (bunyi bising kenderaan motor) 1987,” katanya:


Ahsmon berkata, semua saman, notis dan arahan itu dikeluarkan semasa pemeriksaan pada Operasi Bersepadu ‘Samseng Jalanan’ yang dilaksanakan di beberapa lokasi sasaran di daerah Sandakan pada Sabtu.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page