PGA rampas sisa elektronik bernilai RM19 juta

16 Februari 2025
KUNAK: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai bahan buangan termasuk sisa elektronik bernilai lebih RM19 juta dalam serbuan di sebuah premis di daerah Tawau, semalam.
Rampasan dilakukan oleh Batalion 22 PGA Kunak yang melaksanakan operasi Ops Bersepadu Hazard bersama Jabatan Alam Sekitar Daerah Tawau.
Pegawai Pemerintah Batalion 22 PGA Kunak, Superintendan Norman Chendan Anak Philip Picha Rumpang berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut menahan 12 individu termasuk seorang wanita.

Katanya, semua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kejayaan operasi ini adalah rampasan tertinggi setakat tahun ini iaitu sebanyak RM19,395,550,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Norman berkata, Batalion 22 PGA Kunak akan sentiasa meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi memburu pihak-pihak yang cuba mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman di negara ini.
Commentaires