PGA Sabah rampas barang seludup bernilai lebih RM5 juta
nabalunews
2 Februari 2025
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan dengan merampas pelbagai barangan bernilai keseluruhan lebih RM5 juta dalam operasi selama 14 hari yang berakhir 31 Januari lalu.
Dalam operasi yang dijalankan di sekitar kawasan pantai barat dan timur Sabah itu, PGA Sabah turut berjaya menahan seramai 28 individu termasuk 15 lelaki tempatan.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, kejayaan ini adalah hasil risikan yang dijalankan Unit Risikan Brigad Sabah PGA dan maklumat awam.
Katanya, sepanjang operasi itu, pasukan operasi bukan saja berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan keluar barang kawalan seperti minyak diesel tetapi juga penyeludupan masuk ke negara ini.
“Antara yang dirampas ialah pelbagai jenis mercun, ayam dan daging sejuk beku, rokok sera minuman keras, senjata api buatan sendiri dan air ketum.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan bernilai RM5.080 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Abdul Rani berkata, operasi serbuan dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota terdiri daripada formasi Batalion (BN) 14 PGA Tawau, BN 15 PGA Sandakan, BN 16 PGA Kota Kinabalu, BN 17 PGA Lahad Datu, BN 20 PGA Beluran, BN 21 PGA Keningau dan BN 22 PGA Kunak.
Katanya, pelaksanaannya turut melibatkan pelbagai operasi iaitu Op Taring Eszzone, Op Taring Daratan, Op Bersepadu Khazanah (OBK) dan Op Kontraban serta Penugasan Road Check Point (RCP).
Sehubungan itu, Abdul Rani berkata, pihaknya akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Katanya, orang awam juga disarankan supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kes-kes penyeludupan yang berlaku di sekitar kawasan mereka.
“Ia bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan,” katanya.
Comentários