PGA Sabah rampas E-Waste bernilai RM65 juta

18 Februari 2025
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya merampas pelbagai bahan buangan terjadual sisa elektronik (e-waste) bernilai RM65 juta dalam operasi Op Hazard, 15 Februari lalu.
Operasi yang dijalankan secara serentak di seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar itu turut berjaya menahan seramai 58 individu.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 12 premis di seluruh negeri ini yang disyaki melakukan kesalahan berkenaan diperiksa.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, dua premis beroperasi tanpa permit, manakala selebihnya didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan dalam permit Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah.
“Semua premis berkenaan diperiksa selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai 58 individu melibatkan 37 lelaki dan tujuh wanita tempatan.
“Selain itu, kita turut menahan 11 warga Indonesia dan tiga warga Filipina,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Abdul Rani berkata, nilai anggaran bahan buangan terjadual sisa elektronik yang dirampas pula adalah sebanyak RM65.1 juta.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pegawai Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah mengikut Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sehubungan itu, Abdul Rani berkata, pihak polis melalui PGA akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi membanteras sebarang aktiviti yang melakukan kesalahan bagi menjaga kualiti alam sekitar di negeri ini.
Comments