PGU bantu penerbangan penghantaran bantuan bakul makanan mangsa bencana

25 Mac 2025
NABAWAN: Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerbangkan helikopter AW139, hari ini, untuk menghantar bantuan bakul makanan kepada lima kampung di daerah Nabawan.
Usaha itu terpaksa diambil berikutan semua perkampungan berkenaan dilaporkan terputus hubungan jalanraya ekoran hujan lebat sejak 22 Mac lalu.
Pegawai Daerah Nabawan Ts Marshal Anthony Idham, berkata, kampung yang terjejas ialah Kampung Pangaraan, Binanun, Pohon Batu , Sumbiling dan Tatalan Ulu.
Katanya, lima perkampungan itu melibatkan anggaran seramai 200 orang penduduk yang terjejas akibat banjir.
“Untuk hari ini (Selasa) penghantaran bantuan bakul makanan hanya dihantar ke kampung Pangaraan Dan Pohon Batu.
“Manakala untuk esok (Rabu) dua lagi helikopter Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah akan turut membantu misi penghantaran bakul makanan,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Turut membantu dalam misi penghantaran bantuan itu Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Nabawan, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Nabawan, Pejabat ADUN Nabawan dan Pejabat Ahli Parlimen Pensiangan.
Marshal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Nabawan berkata, pihak JPBD Nabawan juga kini sedang proses menganggarkan kerosakan untuk diajukan kepada pihak berwajib.
Katanya, beliau berharap peruntukkan baikpulih untuk semua kerosakan kesan daripada runtuhan ini dapat dipercepatkan.
Comments