top of page
Wartawan Nabalu News

PH akan sokong usul pindaan perlembagaan MA63


22 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) akan memberi sokongan dua pertiga kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Menurut kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan, pada dasarnya PH bersetuju menyokong usaha Kerajaan itu memandangkan ia adalah sebahagian dari Perkara 5, Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Pakatan Harapan dan Kerajaan.


“Pakatan Harapan tidak akan bermain politik tetapi akan berikan sokongan dua pertiga kepada pindaan Perlembagaan ini agar hak rakyat Sabah dan Sarawak dapat diperkukuhkan.


“Pakatan Harapan akan sentiasa berusaha memperjuangkan hak dan keadilan buat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Difahamkan kerajaan berniat membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu MA63 pada minggu hadapan.


“Kami berharap pindaan ini akan mempergiat usaha melaksana segala perkara yang termaktub di dalam MA63 demi menegakkan keadilan buat Sabah dan Sarawak,” katanya.


Pendirian ini adalah sebahagian dari usaha pimpinan Pakatan Harapan sejak sekian lama, termasuk dalam mengiktiraf Hari Malaysia seperti yang diangkat oleh Anwar pada 2008, serta pendirian DAP menerusi Lim Kit Siang di Parlimen yang tidak menyokong pindaan Perlembagaan pada 1976 yang telah mengubah dan menurunkan status Sabah dan Sarawak dari ‘wilayah’ menjadi ‘negeri’.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rayat Datuk Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Hj Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau.

Comments


bottom of page