PH belum bincang secara formal kerjasama dengan parti lain bagi PRN Sabah
29 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) belum lagi membincangkan secara formal kerjasama antara mana-mana parti untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah, akan datang.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, dalam hal ini, PH Sabah perlu diberi autonomi untuk menentukan pihak mana dan bentuk kerjasama dengan mana-mana parti sesuai dengan perkembangan politik semasa.
“Belum ada sebarang kata putus berkaitan Kerjasama PH dengan mana-mana parti buat masa ini dalam menghadapi PRN Sabah akan datang.
“PH Sabah perlu memilih rakan yang mempunyai asas perjuangan yang sama, misalnya dalam memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menuntut satu pertiga bilangan kerusi di Dewan Rakyat dan tuntutan pemberian hasil 40 peratus,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri yang menyatakan BN dan PH telah memuktamad kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah yang dijangka berlangsung tahun depan.
Comments