PH beri bayangan perlukan 22 kerusi Parlimen Sabah, Sarawak bentuk kerajaan baharu: Anthony Loke
13 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Pakatan Harapan (PH) memerlukan sekurang-kurangnya 22 kerusi Sabah dan Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan baharu, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Beliau berkata, berdasarkan sokongan para pengundi di Semenanjung setakat ini, PH memberi bayangan sudah memenangi 90 kerusi Parlimen.
“Di Semenanjung, kita sedang mendahului (sokongan rakyat) dan sudah mencapai lebih kurang 90 kerusi Parlimen, kita perlukan 112 kerusi. Kita masih memerlukan sekurang-kurangnya 22 kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.
“Saya berharap Sabah boleh menyumbang sekurang-kurangnya 10 kerusi untuk Pakatan Harapan. Kalau itu berlaku, PH pada malam 19 November ini akan diumumkan membentuk kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diangkat menjadi Perdana Menteri baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ceramah kempen Pakatan Harapan bagi calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick dan calon Parlimen Kota Kinabalu Chan Foog Hin, di sini, hari ini.
Sehubungan itu Anthony menyeru semua pengundi di Sabah supaya keluar beramai-ramai pada 19 November ini untuk mengundi dan memberikan kemenangan kepada semua calon PH di Sabah.
“Kita mahu semua pengundi di Parlimen Penampang memberi sokongan kepada Ewon Benedick, seorang pemimpin muda dan memastikan Ewon menang di Penampang.
“Kita mahu lihat lebih ramai pemimpin muda berada di landasan terbaik untuk sama-sama melaksanakan dasar yang baik dan untuk mengurus negara,” katanya.
Beliau berkata, di peringkat persekutuan ada tiga gabungan politik besar pada PRU15, iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Kita sudah bagi peluang kepada BN selama 60 tahun memerintah tetapi rasuah, menyalahgunakan kuasa, parti dominan.
“BN pada hari ini bukan BN yang dulu, kalau dulu BN satu parti boleh bentuk kerajaan tetapi hari ini hakikatnya BN tidak boleh membentuk kerajaan dengan sendiri.
“Gabungan politik kedua ialah Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Bersatu, PAS dan Gerakan. Dia (gabungan) bawa politik perkauman dan agama … kita tidak mahu politik macam itu,” katanya.
Sebaliknya Anthony berkata, PH adalah pilihan terbaik kerana membawa politik pelbagai kaum.
Katanya, walaupun kebanyakan ahli DAP adalah masyarakat Cina namun masih ada kaum lain seperti Kadazan (Jannie Lasimbang), begitu juga dengan Parti Keadilan, dianggotai pelbagai kaum.
“UPKO iaitu antara parti komponen dalam PH adalah parti tempatan Sabah, kebanyakan pemimpin adalah Kadazandusun dan kita raihkan pemimpin Kadazandusun dalam PH.
“Dalam Pakatan Harapan, semua kaum di Malaysia dalam kepimpinan. Apabila kita mengadakan perbincangan, suara UPKO sama dengan suara DAP, suara DAP sama dengan suara Keadilan dan sebaliknya.
“Kita duduk bersama dan membuat keputusan sebulat suara. Ini kekuatan kita. Oleh itu saya merayu kepada semua pengundi di Sabah supaya memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk membina semula Malaysia. PH ada kekuatan tersendiri dengan kerjasama semua kaum di negara ini,” katanya.
Comentarios