PH gesa kerajaan tarik balik pindaan Akta 342
16 Dis 2021
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) berpendapat pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) adalah tidak sesuai dan menggesa Kerajaan menarik balik pindaan tersebut.
Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail berkata Kerajaan seharusnya mengadakan perbincangan mendalam dengan Pakatan Harapan serta Pembangkang amnya, agar satu bentuk pindaan Akta 342 yang lebih baik dapat diperolehi dan dipersetujui bersama.
“PH telah meneliti secara terperinci Rang Undang-Undang Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang telah dibentang semalam dan difahamkan bakal dibahas pada 16 Disember.
“Walaupun satu pindaan tambahan telah dibawa hari ini yang mengurangkan denda dan kompaun bagi RUU ini, ahli-ahli parlimen PH berpandangan bahawa RUU ini tetap membuka ruang yang luas untuk berlakunya salah guna kuasa, rasuah, serta amalan ‘Antara Dua Darjat’,” kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu menerusi satu kenyataan.
Ujarnya, pendirian Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.
“Memandangkan Kerajaan tetap dengan pendirian untuk meneruskan perbahasa RUU ini, maka PH mengambil sikap tidak menyokong RUU ini di dalam bentuk yang telah dibentang.
“Justeru, saya menggesa kerajaan khususnya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menarik balik RUU ini,” ujarnya.
Comments