top of page
Wartawan Nabalu News

PH, PARTI PEMBANGKANG GESA KERAJAAN PANDANG SERIUS ISU PENGURUSAN PEPERIKSAAN SPM, SPMV 2021



6 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan Parti-parti pembangkang menggesa kerajaan persekutuan Perikatan Nasional memandang serius pengurusan peperiksaan SPM dan SPMV bagi tahun 2021 dan kesiapsiagaan calon-calonnya.


Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan wakil parti Keadilan, DAP, Amanah, UPKO, Muda, Pejuang dan Warisan, kegagalan Kementerian Pendidikan dalam pengurusan SPM 2020 menyebabkan tekanan mental dan fizikal pelajar, guru-guru dan ibu bapa.


Kenyataan itu dikeluarkan oleh bekas Menteri Pendidikan Malaysia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan Dr.Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (Keadilan), Teo Nie Ching (DAP), Datuk Dr.Hasan Baharom (Amanah), Natrah Ismail (Keadilan), Steven Chee Keong (dap), Datuk Madius Tangau (UPKO), Syed Saddiq Abdul Rahman (MUDA), Dato’ Wira Amiruddin Hamzah (PEJUANG) dan Ahmad Hassan (Warisan).


Menurut mereka, kegagalan seumpanya tidak boleh diulang semula bagi kumpulan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan SPMV tahun ini (2021).


“Mengulangi kesilapan yang sama berulang-ulang tanpa inisiatif untuk menghindarinya dan seterusnya memperbaiki keadaan adalah lambang kegagalan sesebuah kerajaan.


“Sikap berdiam diri tanpa mempedulikan suara hati rakyat dan para pemegang taruh juga merupakan tanda sebuah kerajaan yang gagal,” kata kenyataan itu.


Katanya lagi, kohort SPM 2021 merpakan kumpulan rintis pelajar yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang diperkenalkan pada 2017. Format SPM untuk kohort ini hanya diumumkan tahun lalu.


“Dengan pengenalan ciri-ciri baru tersebut ditambah pula sesi persekolahan yang terganggu dan tergendala berikutan pandemik Covid-19, para pelajar SPM 2021 akan menghadapi cabaran yang lebih besar dan lebih mencabar berbanding calon-calon SPM 2020 jika kerajaan persekutuan sekali lagi gagal menguruskan sesi pekeriksaan ini.


“Jika kegagalan Menteri Pendidikan dalam mengendalikan krisis SPM dan SPMV tahun lepas disebabkan tiada pengalaman memimpin sector pendidikan dalam keadaan krisis yang serba baharu, ia masih boleh diterima sebagai alasan.


“Bagaimanapun jika kegagalan itu masih diulangi untuk tahun ini dengan segala kelembapan dalam membuat keputusan, menteri, kedua timbalannya dan kerajaan persekutuan sudah tidak ada alasan pada tahun ini,” katanya.


Jawatankuasa Pendidikan PH dan Parti-parti pembangkang menggesa agar Kementerian Pendidikan melalui Menteri Kanan dan kedua timbalannya segera tampil membuat pengumuman awal berkaitan SPM dan SPMV 2021 demi kebaikan semua pihak, terutamanya para calon.


“Logiknya jika jadual tradisi masih digunapakai, para pelajar hanya mempunyai masa lebih kurang lima bulan untuk membuat persiapan dan ini amat meresahkan semua pihak yang terlibat,” katanya.




Commentaires


bottom of page