PH Sabah junjung kasih Agong pelantikan TYT Sabah ke-11
17 Disember 2024
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang telah berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 kepada Tun Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Aman dan seterusnya pengurniaan pingat kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara di Istana Negara hari ini.
PH Sabah dalam satu kenyataan hari ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan dan pengurniaan pingat ini.
"PH Sabah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin sepanjang perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ke-10," kata kenyataan itu, di sini, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu.
Terdahulu pagi ini, Tun Musa Aman menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 daripada Sultan Ibrahim, di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Tun Musa adalah bekas Ketua Menteri Sabah yang paling lama berkhidmat bermula pada 2003 hingga 2018, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa gelaran Tun kepada Musa.
Pelantikan Tun Musa adalah bagi menggantikan Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin yang menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Pelantikan ini berkuatkuasa 1 Januari 2025 selama 4 tahun sehingga 31 Disember 2028.
Hadir sama dalam istiadat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri; Datuk Sri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tun Datuk Seri Panglima Juhar yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-10 selama empat penggal.
Musa, 73, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga dilantik bagi menggantikan TYT sekarang, Tun Juhar Mahiruddin.
Tun Juhar akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011, menjadikannya TYT paling lama berkhidmat setakat ini.