PH Sabah Tegas Perkukuh Perpaduan, Fokus Pembangunan Sabah
nabalunews
27 Januari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah menzahirkan komitmen tinggi untuk memperkukuh perpaduan kaum serta agama sambil menumpukan usaha pembangunan negeri.
Pengerusi Democratic Action Party (DAP) Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, PH bertegas untuk menolak politik perkauman yang sering dimainkan pihak tertentu.
Katanya, Sabah adalah contoh terbaik untuk perpaduan kaum dan agama yang seharusnya menjadi inspirasi kepada seluruh negara.
“Sabah tidak perlu terikut-ikut sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan politik. PH Sabah komited memastikan pembangunan yang inklusif tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
“Inilah kepentingan demokrasi matang yang menilai pemimpin berdasarkan kebolehan membawa perubahan positif, bukannya sekadar retorik politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru dan Rumah Terbuka Hari Natal PH Sabah di Dewan Pasisimpungan Sidang Injil Borneo (SIB), di sini, pada Sabtu.
Turut dihadir, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Sabah, Hashim Daris dan Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Raymond Ahuar.
Phoong berkata, kejayaan Pulau Pinang dan Selangor di bawah pentadbiran PH adalah bukti bahawa dasar berorientasikan rakyat mampu membawa hasil memberangsangkan.
Oleh katanya, semua rakyat Sabah disarankan untuk memberi peluang kepada PH menerajui negeri demi kemajuan yang lebih menyeluruh.
“Sudah tiba masanya Sabah mendapat manfaat daripada dasar pembangunan yang progresif,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Phoong turut menyampaikan penghargaan kepada Timbalan Pengerusi PH Malaysia yang juga Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, atas sumbangannya kepada negeri Sabah.
Katanya, selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) beliau membawa pelbagai inisiatif keusahawanan dan pembangunan kepada rakyat Sabah sejak dua tahun ini.
“Pemimpin yang efektif bukan dinilai melalui identiti politik, tetapi hasil kerja mereka. Seperti pepatah Cina, Tak kisahlah kucing hitam atau putih, asalkan boleh tangkap tikus, itulah kucing yang bagus.
“Hasil kerja dan keberkesanan adalah penanda aras utama dalam menilai pemimpin, tanpa mengira identiti parti atau latar belakang politik mereka,” katanya.
Sementara itu, Ewon dalam ucapan perasmiannya menegaskan kepentingan kolaborasi antara pemimpin dan rakyat dalam membawa pembangunan yang mampan ke Sabah.
Katanya, beliau amat komited untuk terus memperjuangkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“PH Sabah menggariskan bahawa perpaduan yang kukuh adalah kunci kepada pembangunan menyeluruh.
“Melalui kerjasama erat dan dasar yang inklusif, mereka yakin dapat mewujudkan masa depan yang lebih cerah untuk Sabah,” katanya.
Comments